NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Breaking News: Dua Kapal Amerika Masuki Perairan Kita Beri Amaran Keras Kepada China


Oleh: Abdul Muein Abadi

1. Terkini dilaporkan dua kapal Amerika memasuki perairan kita sambil memberi amaran kepada China di mana kapal-kapal China sedang mengganggu usaha eksplorasi West Capella yang dikontrak Petronas di blok Lala-1 yang dijangka selesai pada bulan ini.

2. Komander Armada Pasifik Amerika, Laksamana John Aquilino memberi amaran “Parti Komunis China mesti berhenti membuli negara-negara Asia Tenggara demi minyak, gas, dan perikanan luar pesisir. Berjuta-juta rakyat di rantau ini bergantung pada sumber-sumber berkenaan untuk kehidupan mereka”.

3. Amaran Komander Laksamana John Aquilino ini lebih keras berbanding kenyataan yang dibuat pada April lalu di mana ketika itu Amerika mengerahkan angkatan armada mereka iaitu Kapal Penyerang Amfibia (LHA 6), USS America, kapal ‘guided-missile cruiser’ USS Bunker Hill (CG52) dan ‘guided-missile destroyer’ USS Barry-DDG 52 ke wilayah kita.

4. Kedua-dua kapal Amerika yang terkini dikerah ke perairan kita ialah kapal Littoral Combat Ship USS Montgomery (LCS 8) dan kapal ‘dry cargo’ USNS Cesar Chavez (T-AKE 14) kelas Lewis dan Clark.

5. Laksamana Madya Fred Kacher, komander Expeditionary Strike Group 7 berkata, kehadiran kedua-dua kapal Montgomery dan Cesar Chavez di Laut China Selatan membuktikan komitmen berterusan Tentera Laut Amerika di rantau ini.

6. Kita wajib menyedari bahawa kedua-dua kuasa besar ini sama ada Amerika mahu pun China masing-masing memiliki kepentingan mereka yang tersendiri di rantau ini.

7. Dalam keadaan ekonomi kita juga secara signifikan bergantung pada eksport dan pelaburan ke negara mereka (sekitar RM140 bilion ke China, hampir RM100 bilion ke Amerika), serta ketidaktentuan pasca-COVID-19, langkah terbaik adalah dengan mengimbangi ancaman yang paling nyata dengan ancaman yang kurang mengimpak kepentingan nasional kita.

8. Kelakuan China yang berterusan menceroboh wilayah perairan dan sumber hidrokarbon kita sejak 2012 dan 2013 membuktikan satu perangai China: pada satu sisi mereka cuba menunjukkan sikap diplomasi dengan menawarkan pinjaman untuk pelbagai projek dan kerjasama di bawah Inisiatif Belt and Road (BRI). Namun dalam masa yang sama, mereka dengan biadap sekali menceroboh dan melakukan pelbagai aktiviti yang memudaratkan integriti wilayah, sumber hidrokarbon, serta perikanan kita di Laut China Selatan.

9. Maka selain daripada mengerahkan aset-aset TLDM dan Maritim Malaysia, pilihan kita adalah dengan memanipulasi dan memanfaatkan imbangan kuasa sesama kuasa besar.

10. Terbukti setakat ini aset-aset kita seperti KD Jebat, KD Kelantan, KA Bunga Mas 5, serta KM Bagan Datuk berjaya berterus-terusan memberi sokongan kepada kapal West Capella yang dikontrak Petronas di blok Arapaima-1 dan juga blok Lala-1.

11. Buat masa ini, sama-sama kita doakan di bulan Ramadan yang mulia ini supaya kapal West Capella berjaya menyempurnakan misi eksplorasi mereka untuk Petronas di Blok Lala-1 yang semakin hampir ke penghujungnya, sama seperti mana mereka berjaya melakukannya di blok Arapaima-1 Mac lalu meski pun turut sama berdepan asakan berterusan kapal-kapal haram China.

Semoga Allah terus perkasakan dan peliharakan TLDM, Maritim Malaysia, dan Petronas.

***Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo