NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tranformasi Pembayaran Zakat Fitrah Dalam Talian


Kesemua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) telah mengoptimumkan kaedah pembayaran zakat fitrah secara dalam talian bagi memudahkan pembayar menunaikan kewajipan dengan lebih pantas dan selamat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Jabatan Perdana Menteri, orang ramai boleh merujuk laman sesawang Majlis Agama Islam negeri masing-masing untuk mengetahui mekanisme pembayaran zakat fitrah secara dalam talian dengan lebih lanjut.

Dalam pada itu, MAIN dan AMZ masih menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat fitrah melalui amil bagi membantu mereka yang tidak mahir menggunakan teknologi atau tiada akses Internet. Bagaimanapun, perlaksanaan kaedah itu minimum.

“Bagi individu yang disahkan positif COVID-19 atau baru sembuh daripada wabak itu, individu yang termasuk dalam kategori Pesakit Dalam Siasatan (PUI) dan Individu Di Bawah Pengawasan (PUS) yang ingin menunaikan kewajipan zakat fitrah, mereka hendaklah mewakilkan pembayaran kepada ahli keluarga atau waris yang sihat.

“Mekanisme pelaksanaan ini akan diselaras sewajarnya sesuai dengan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang sedang berkuat kuasa. Bagaimanapun, bagi negeri yang tidak menyediakan perkhidmatan bayaran fitrah melalui amil, maka para pembayar perlulah merujuk pihak MAIN dan AMZ selaku pihak berkuasa agama negeri,” berikut jawapan soalan lazim (FAQ) berkaitan dengan pembayaran zakat fitrah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Segala arahan dan tatacara kawalan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dilaksanakan. Lokasi pembayaran zakat fitrah dikenal pasti oleh pihak MAIN dan AMZ adalah bersesuaian dan mengambil kira elemen penjarakan sosial yang selamat.

Proses pembayaran juga perlu diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Para pembayar dan amil turut dinasihatkan sentiasa menjaga kebersihan, memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan pensanitasi tangan.

“Para pembayar turut digalakkan menyediakan wang secukupnya, tidak perlu bersalaman semasa membayar zakat dan segera beredar selepas selesai urusan pembayaran.

“Setiap amil fitrah dilantik tertakluk kepada arahan dan tatacara kawalan yang ditetapkan oleh pihak MKN dan KKM. Mereka juga terikat dengan tatacara digariskan oleh MAIN dan AMZ.

“Sekiranya amil atau pembayar berada dalam keadaan kurang sihat, mereka tidak dibenarkan memungut atau menunaikan zakat fitrah pada waktu itu,” jelasnya.

Perkhidmatan kaunter zakat fitrah di tempat tumpuan awam seperti pasar raya tidak disediakan dan ia selaras dengan arahan PKP yang sedang berkuatkuasa iaitu larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai.

Terdapat beberapa mekanisme pelaksanaan yang dicadangkan iaitu bayaran secara pandu lalu, kutipan dari rumah ke rumah dan sebagainya.


Antara syarikat yang menawarkan platform pembayaran zakat secara dalam talian ialah MYEG. Pengarah eksekutif syarikat Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha berpandangan sebagai pemimpin perkhidmatan e-kerajaan, mereka merasa gembira dengan penyertaan enam AMZ bagi memudahkan urusan individu yang mahu membayar zakat fitrah secara dalam talian.

Individu yang mahu berbuat demikian boleh saja melayari www.myeg.com.my di mana mereka perlu mempunyai akaun MYEG dan membuat bayaran zakat dengan AMZ negeri mereka mengikut kadar yang ditetapkan. Pembayaran boleh dibuat melalui perbankan dalam talian atau kad kredit.

Menurut Datuk Raja Munir Shah lagi, pengguna MYEG turut diberi alternatif iaitu memuat turun aplikasi MYEG di Google Play Store. Enam AMZ negeri yang terlibat ialah Lembaga Zakat Selangor, Pusat Pengumpulan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan Baitulmal Corporation, Lembaga Zakat Kedah, Majlis Agama Islam Sabah dan Dana Baitulmal Sarawak.

Selain MYEG, pengelola e-dompet Boost turut mengadakan kerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor dengan menyediakan solusi pembayaran zakat secara nirtunai. Dua jenis bayaran zakat yang boleh dibayar pengguna menerusi platform Boost ialah zakat fitrah dan zakat harta.

CEO Boost Mohd Khairil Abdullah memberitahu media pembayaran zakat harta menggunakan platform ini sudah bermula hari ini. Manakala pembayaran zakat fitrah pula dijangka bermula pada 1 Ramadan ini. Beliau turut mendedahkan pilihan sama akan turut ditawarkan kepada pengguna di Kedah dan Wilayah Persekutuan.

Berikut senarai laman sesawang pembayaran zakat fitrah negeri-negeri di Malaysia:

Selangor: https://fpx.zakatselangor.com.my
Wilayah Persekutuan: https://zakat2u.com.my/payment/fast
Kedah: https://jom.zakatkedah.com.my
Perlis: https://bit.ly/2VMqN5L
Penang: https://bit.ly/2Ko9zqj
Kelantan: https://zakat.e-maik.my/v5/index.php
Terengganu: https://bit.ly/2Vrxvz3
Perak: https://ezakat.maiamp.gov.my/v4/
Pahang: https://bit.ly/2KljrRA
Negeri Sembilan: https://bit.ly/3eEbyEB
Melaka: https://bit.ly/2RVHb2E
Johor: http://fitrah.maij.gov.my

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo