Ramadhan Untuk Rohingya

oleh: Ustaz Nik Mohamad Abduh

Dua hari lepas, saya menulis pendek untuk bangsa Rohingya yang berada di Malaysia sebagai pelarian yang dihalau, ditindas dan dibunuh di negara sendiri, Myanmar.

Hujan dan udara sejuk awal bulan Ramadhan nampaknya gagal memadam kepanasan dan kemarahan sebahagian daripada anda terhadap bangsa Rohingya. Jika begitu, apalah tulisan saya..

Saya ingatkan anda agar merahmati bangsa tertindas itu, atau jika tidak mampu, maka diam dan jangan sesekali menghina mereka. Saya ingatkan anda dengan dosa. Dosa besar.

Saya tarik anda untuk merenung bulan Ramadhan yang penuh rahmah dan kasih sayang. Bulan sabar. Bulan taqwa. Bulan hidayah. Bulan kesyukuran dan bulan kemurahan nurani para pendiri Ramadhan.

Kemudian secara nyata dan tegas, saya ingatkan anda dengan tipu daya musuh yang terus menerus merancang siang dan malam untuk memfitnah dan merobek kasihan belas dunia, lebih-lebih lagi rakyat Malaysia terhadap bangsa Rohingya.

Saya ingatkan bahawa ia adalah racun atau virus yang ditularkan di media sosial dan jangan sesekali menghirupnya dengan mudah dan tanpa sedar.

Segera lakukan penjarakan sosial daripada berita palsu dan hukuman kejam terhadap bangsa yang tertindas ini. Kemudian, mereka pula adalah saudara semuslim kita. Muslim itu terlalu kental nilai persaudaraan Islam sesama mereka.

Kemudian, saya sudahkan tulisan saya dengan mencoret nama Ustaz Ebit Lew sebagai kekuatan buat anda sebagai penjulangnya untuk segera membuang kebengisan dan berakhlak mulialah sebagaimana beliau.

Saya menulis,

"Jangan diri merasa hebat menjulang Ustaz Ebit Lew sebagai duta kasih sayang negara, tetapi dalam masa yang sama meninggalkan akhlak mulianya menyantuni orang-orang yang susah, apatah tertindas."

Malang, saya dimarahi.

Jika begitu, mari saya tukarkan nama Ustaz Ebit Lew dengan insan yang lebih baik dan lebih anda sayangi daripada Ustaz Ebit Lew.

Baca begini,

"Jangan diri merasa hebat menjulang Rasulullah صلى الله عليه وسلم sebagai duta kasih sayang kemanusiaan, tetapi dalam masa yang sama meninggalkan akhlak mulia baginda menyantuni orang-orang yang susah, apatah tertindas."

Agar anda tahu bahawa bulan Ramadhan yang penuh kasih sayang sedang menangisi anda yang sedang menjadi penyambung lidah musuh memerangi bangsa Rohingya yang tertindas.

Ramadhan menangisi anda.

Agar anda tahu bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم berdukacita dengan akhlak anda sebagai umatnya yang menjengkeli dan menghina saudara sendiri yang sedang menumpang di rumah anda sementara menunggu keluasan daripada Allah untuk kembali ke kampung halaman mereka.

Rasulullah berdukacita dengan anda.

Agar anda tahu bahawa Ustaz Ebit Lew tidak mulia sendiri. Mulia beliau adalah pada akhlaknya. Manakala akhlaknya adalah cedokan nur cahaya akhlak baginda صلى الله عليه وسلم.

Akhlak Ustaz Ebit Lew bukan akhlak anda.

Anda beralasan seribu bahawa kemarahan anda ada sebabnya. Mereka bangsa yang tidak tahu berterima kasih.

Itu premis kukuh anda.

Mari saya bawa anda kepada keluasan akhlak. Biar Allah memuji anda dengan akhlak yang anda lesenkan diri anda untuk mencerca bangsa tertindas, saudara muslim anda.

Ambil peringatan ini daripada lidah pertama yang membacanya di muka bumi,

1)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum menghina kaum yang lain. Boleh jadi kaum yang dihina itu adalah lebih baik daripada kaum yang menghina.. " - Surah al Hujurat: 11

Adakah anda merasa bangsa Melayu lebih mulia di sisi Allah daripada bangsa Rohingya?

2)

Dalam riwayat al Bukhari, dinyatakan berlaku perbalahan antara dua individu Muhajirin dan Ansar. Ia berlarutan dengan masing-masing menyeru sokongan golongan masing-masing, "Wahai Ansar. Wahai Muhajirin". Baginda mendengarnya lalu bersabda, "Tinggalkannya (seruan jahiliyah). Sesungguhnya ia adalah bangkai (yang telah ditinggalkan oleh Islam).

Baginda tidaklah segera datang menyelesaikan isu asal perbalahan sebagaimana segeranya baginda menyelesaikan isu penyelesaian secara jahiliyah yang lebih besar keburukannya ke atas umatnya.

Perbalahan adalah adat kehidupan. Penyelesaiannya mestilah secara Islam, bukan dengan hukum jahiliyah.

Jangan memburukkan bangsa Rohingya. Itu adalah bangkai seruan jahiliyah. Ia dosa. Dosa besar.

3)

Apabila baginda al Rasul dipaksa berpatah balik daripada tanah Taif akibat dilontar dengan batu dan dihina oleh penduduknya, baginda berhenti di perjalanan menuju Mekah. Baginda menitip doa sepanjang zaman golongan tertindas kepada Allah. Antaranya,

"Kepada siapakah ya tuhanku Engkau mahu serahkan daku? Adakah kepada orang jauh yang membenci dan mengasariku? Atau kepada musuh (orang dekat iaitu orang Mekah sendiri) yang berkuasa ke atas segala urusanku?"

Bagaimana, saat anda lancang menuntut bangsa Rohingya agar dihantar pulang, jika anak-anak kecil Rohingya yang sedang menghafaz al Quran dan para guru mereka di bilik-bilik kecil di seluruh negara ditimpa ketakutan, lalu berdoa dengan doa Rasulullah itu?

"Ya tuhan kami, kepada siapa Engkau mahu serahkan kami? Kepada negara kami yang membunuh kami? Atau kepada bumi ini yang semakin membenci kami menumpang di sini?"

Rasulullah adalah insan tertindas di bumi sendiri di kota Mekah. Sebelum baginda adalah bapa kita, baginda adalah bapa golongan tertindas di tempat pertama. Baginda adalah bapa bangsa Rohingya yang tertindas.

Berapa banyak doa golongan tertindas untuk rakyat Malaysia yang membantu mereka. Doa daripada bumi Palestin, Syria, Yaman, Arakan dan serata dunia berjajaran menuju langit berkat bantuan yang rakyat Malaysia curahkan kepada mereka.

Keharmonian negara kita adalah atas sebab doa para malaikat Allah untuk kita. Juga doa segala makhluk di bumi dan di laut untuk kita. Juga doa daripada anak-anak kecil, orang-orang tua, wanita dan juga golongan tertindas yang kita bantu.

Jangan sesekali mendinding doa ini daripada sampai kepada Allah. Asbab kita sejahtera adalah dengan keberkatan doa golongan tertindas yang kita bantu dan perjuangkan.

Jangan sombong Malaysiaku.

Sejak bila akhlak buruk sesetengah individu atau kumpulan tertentu dibalas dengan dihalau dari negara?

Akhlak adalah soal akhlak.

Ada undang-undang untuknya. Malaysia negara hukum. Kuatkuasakan undang-undang untuknya.

Samada rakyat negara asing yang mencari rezeki di negara kita atau PATI atau pelarian, kerenah yang mereka lakukan mesti diadili dengan undang-undang. Hak kekal hak sehinggalah dicabuli.

Saya hanya menulis untuk pelarian yang sedang menumpang di bumi bertuah ini. Saya belum pun lagi menulis berkaitan pelarian Rohingya di luar negara yang sedang ketakutan dan mencari perlindungan.

Ia dua penyelesaian yang berbeza.

Musuh merancang untuk merosakkan keamanan dalam negara kita sebagaimana merancang tipu daya untuk menindas umat Islam yang lemah di luar sana.

Malaysia dan rakyatnya ada nama baik di serata dunia sebagai penolong golongan yang tertindas. Ia tidak disukai oleh musuh Islam kerana ia memberi harapan dan kekuatan kepada golongan yang tertindas untuk bangkit mempertahankan diri dan hak. Justeru mereka merancang merosakkan negara daripada dalam. Mari menyedarinya.

Ada isu lain dalam negara yang lebih besar dan merbahaya daripada isu pelarian Rohingya. Bagaimana dengan isu kemasukan berpuluh ribu warga asing dari negara China tanpa pulang keluar?

Sentiasalah waspada demi agama dan negara tercinta. Waspada itu ibadah.

Mari muliakan diri dengan akhlak yang mulia. Itulah anugerah Ramadhan yang menanti kita.

اللهم اهدنا لأحسن الأخلاق لا يهدى لأحسنها إلا أنت واصرف عنا سيئها لا يصرف عنا سيئها إلا أنت.

"Ya Allah, hidayatilah kami kepada akhlak yang terbaik. Tiada yang menunjuki kepadanya selain-Mu. Dan elakkan kami daripada akhlak yang buruk. Tiada yang mampu mengelakkan kami daripadanya selain-Mu."
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post