NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mufti Wilayah Persekutuan Mesti Bermazhab Shafie


oleh: MOHD ASWANIZAM BIN ALIAS

Pihak kami di ISR, telah merujuk kepada pakar Perlembagaan & Perundangan Islam berkenaan isu jawatan Mufti bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Seorang Mufti bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Malaysia mestilah memenuhi kriteria sebagai seorang yang diketahui dan diyakini dengan jelas berpegang kuat kepada Mazhab Shafie.

AKTA 505, AKTA PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1993 BAHAGIAN III - PERLANTIKAN MUFTI, KUASA DALAM HAL EHWAL AGAMA DAN JAWATANKUASA PERUNDINGAN HUKUM SYARAK, Seksyen 39 (1) mewajibkan mana-mana Mufti yang dilantik dalam mengeluarkan apa-apa fatwa, mestilah mengikut pandangan-pandangan yang diterima (qaul muktamad) Mazhab Syafie.

Seksyen 39 (1), (2) & (3) AKTA 505 sepertimana berikut :

Seksyen 39. Nas-nas yang hendaklah diikuti.

Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 34, atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 38, Mufti hendaklah pada lazimnya mengikut pandangan-pandangan diterima (qaul muktamad) Mazhab Syafie.

Jika Mufti berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie akan membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.

Jika Mufti berpendapat bahawa tiada satu pun qaul muktamad daripada empat Mazhab itu boleh diikuti tanpa membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti bolehlah menyelesaikan persoalan itu mengikut hematnya sendiri tanpa terikat dengan qaul muktamad daripada mana-mana Mazhab yang empat itu.

Kami menyeru semua pihak untuk menghormati prinsip Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara, Keluhuran Perlembagaan serta Kedaulatan Undang-Undang dalam memilih calon Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Sebarang tindakan yang bercanggah dan bertentangan dengan prinsip-prinsip di atas, merupakan satu isyarat penentangan prinsip-prinsip tersebut dan harus ditangani melalui jalan tindakan undang-undang sehingga undang-undang tersebut kembali kepada kedudukannya berdaulat dan dihormati sepenuhnya.

MOHD ASWANIZAM BIN ALIAS ialah KETUA PENGARAH,
IHSAN STRATEGIC RESEARCH CENTRE (ISR)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo