NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Manfaatkan tempoh PKP, amalkan 5S di rumah




KANGAR, 18 Syaaban 1441H, Ahad – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak rakyat negeri ini agar menggunakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga 28 April ini untuk menerapkan 'Konsep Amalan 5S' – Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal.


Konsep Amalan 5S telah mula diperkenal kepada syarikat-syarikat di Jepun pada awal tahun 1970-an lagi sebelum dibawa masuk ke Malaysia pada pertengahan tahun 1980-an.

"Sisih bermakna mengasingkan barang tidak diperlukan untuk disisihkan dan dilupuskan secara sistematik. 'Susun' pula adalah proses menyusun barang-barang yang diperlukan secara teratur dan sistematik supaya ia mudah diambil dan dikembalikan ke tempatnya setelah digunakan.

"'Sapu dengan cara membersih dan memeriksa ruangan rumah secara berkala dan menyeluruh supaya tiada habuk atau kekotoran sama ada di atas lantai, perabot, mesin dan peralatan rumah.

"Seragam ialah mengekalkan susunan ruang dan peralatan rumah dengan menekankan kebersihan dan kekemasan pada setiap masa, seterusnya 'Sentiasa Amal' bermaksud melatih ahli keluarga mematuhi sistem persekitaran berkualiti secara berterusan supaya ia menjadi amalan dan budaya dalam setiap rumah," baginda bertitah menerusi satu kenyataan hari ini.

Hasrat baginda ialah untuk melihat fokus diberikan oleh setiap ahli keluarga di negeri ini sebagai persediaan awal menghadapi suasana 'norma hidup baru' di rumah masing-masing supaya lebih berkualiti dan tersusun hingga mampu mewujudkan persekitaran yang kondusif, selesa dan kemas.

Baginda bertitah setiap ketua keluarga boleh memastikan semua ahlinya memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing dan inilah juga peluang untuk anda memimpin ke arah keselesaan suasana di rumah.

Titah baginda, bagi yang tidak berpengalaman mengamalkan 5S di pejabat, mereka boleh menyemak dan mula mempelajarinya melalui internet atau bertanya dari kenalan dan jiran tetangga.

"Saya mahu rakyat sentiasa bermentaliti kelas pertama dalam tindakan bagi apa jua keadaan termasuklah semasa PKP, bertindak secara bijak, sentiasa bersih serta mengelakkan sebarang bentuk pembaziran dengan memaksimumkan segala sumber yang ada untuk kebaikan bersama", titah baginda. – Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo