NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Malaysia berdepan beberapa cabaran teruskan trajektori pertumbuhan - Moody'


KUALA LUMPUR, 29 April -- Malaysia ketika ini berdepan beberapa cabaran dalam meneruskan trajektori pertumbuhannya meskipun mencatatkan kemajuan memberangsangkan dalam tempoh empat dekad lepas, katas

Firma penyelidikan ekonomi itu berkata antara cabarannya termasuklah ketidaksamaan pendapatan, jurang yang semakin meningkat dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia, terutamanya antara hab pembuatan mewah dan negeri-negeri yang bergantung kepada pertanian dan sumber semula jadi lain seperti minyak sawit dan perlombongan.

“Penduduk yang semakin menua nampaknya memburukkan lagi situasi ini, kerana pekerja golongan muda berhijrah ke kawasan bandar manakala golongan berusia berpindah balik ke kampung untuk bersara,” kata Moody’s Analytics dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Malaysia juga bergelut untuk meningkatkan rantaian nilainya dan terdapat kebimbangan bahawa negara sedang tersekat dalam “perangkap pendapatan sederhana” - tidak dapat mengekalkan kadar tinggi pertumbuhan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Walaupun pembuatan terus memacu pertumbuhan ekonomi, Moody’s Analytics berkata Malaysia sedang berusaha mempelbagaikan ekonominya menerusi perkhidmatan seperti pelancongan dan perbankan Islam.

“Namun begitu trend demografi dan modal insan menunjukkan bahawa kawasan bandar akan mendapat manfaat daripada perubahan ini dalam komposisi industri, meningkatkan lagi jurang pendapatan antara negeri,” kata firma penyelidikan itu.

Bagi unjuran jangka panjang, Moody’s Analytics berkata Malaysia perlu menyesuaikan diri dengan trend lebih meluas, kerana sebagai pengeksport bersih petroleum dan minyak sawit, ia bergantung besar kepada harga komoditi yang tidak menentu dan perubahan dalam permintaan global.

“Bagaimanapun, bahagian eksport minyak mentah telah berkurangan daripada paras 6.5 peratus pada 2008 kepada kepada 3.7 peratus pada 2018, manakala bahagian minyak sawit meningkat daripada 3.6 peratus pada 2005 kepada 8.5 peratus pada 2011, sebelum turun semula kepada 3.9 peratus pada 2018,” kata firma penyelidikan itu.

Mengenai minyak sawit, ia berkata terdapat beberapa langkah yang diambil oleh rakan dagang utama ke arah kempen produk lebih mesra alam sekitar.

“Kesatuan Eropah (EU), sebagai contohnya, merancang untuk mengenakan had baharu ke atas bahan cemar makanan dalam lemak dan minyak ditapis, termasuk minyak sawit,” katanya.

Sementara itu, industri minyak mentah juga berdepan cabaran permintaan terhadap tenaga lebih bersih.

“Malaysia mempunyai perancangan untuk mempelbagaikan sumber tenaganya, tetapi bagi minyak sawit ia merancang untuk mencabar EU dalam Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) dan bukan sebaliknya menyesuaikan kepada trend,” kata firma penyelidikan itu.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo