NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ketenangan Tuan Guru menghadapi cemuhan dan kata nista para pembencinya



Zakaria Ismail
Marang, 8 April 2020

PENDAHULUAN

Apabila diumumkan pelantikan DSTG Haji Abdul Hadi Awang sebagai duta khas ke asia barat, media sosial dibanjiri dengan segala bentuk cemuhan dan sumpah seranah daripada pendokong dan cyber trooper PH, terutamanya PAN.

Jelas sekali tahap kebencian yang mereka ingin zahirkan kepada batang tubuh Tuan Guru Presiden PAS. Mereka sehingga me'laknat' dan men'celaka'kan seperti orang hilang akal.

Kebencian yang amat sangat itu sehingga menutup rapat hati dan jiwa mereka daripada melihat secebis kebaikan pada Tuan Guru, apatah lagi untuk melihat aspek positif di sebalik perlantikan itu.

PAN BERJIWA KEBENCIAN

Jiwa seorang PAN ialah membenci PAS, terutamanya Presidennya. Ia adalah seperti suatu 'rukun' yang tidak sah penyertaan seseorang PAN melainkan mestilah dia mencemuh Tuan Guru Presiden PAS. Paling kurang pun, dia mesti membenci dengan hati.

Mereka tidak ada idea membina negara. Mereka tiada idea bagaimanakah untuk menyatukan negara ketika krisis melanda negara. Tentulah mereka tiada hala tuju perjuangan, melainkan menumpang hala tuju perjuangan DAP dan PKR. Dan menumpang populariti DS Anwar dan Lim Guan Eng.

Sebaiknya mereka terus menyertai DAP atau PKR. Namun mereka amat diperlukan oleh DAP untuk menjadi 'frontliners' yang menyerang PAS.

LABEL-LABEL NEGATIF TERHADAP KERAJAAN PN OLEH PH



Bila Kerajaan PH tumbang kira-kira pada sebulan lepas, pemimpin dan pendokong PH mula melabel Kerajaan PN dengan pelbagai label negatif.

Antaranya, 'pengkhianat', 'bersekongkol dengan penyamun', 'bukan anak jantan' dan paling masyhur 'kerajaan pintu belakang'.

Walhal semua mengetahui 'pengkhianat' PH bukanlah daripada luar PH, tetapi daripada 'pergolakan dalaman PH' sendiri.

Gelaran 'penyamun' oleh PH biasanya merujuk kepada Umno dan BN. Mereka lupa Tun Mahathir dan DS Anwar juga berasal daripada Umno dan BN. Dan ramai lagi di dalam PKR berasal daripada BN. Jadi, yang bersekongkol dengan 'penyamun' pun bukan orang lain, tetapi PH sendiri.

Label 'Kerajaan Pintu Belakang', dibuat untuk mengelabui mata rakyat daripada melihat 'kesilapan terbesar' kepimpinan PH, iaitu mendesak Tun Mahathir menyerahkan jawatan PM kepada DS Anwar. Kesilapan 'remeh' yang membawa rebah.

Kerajaan PN tidak masuk melalui 'pintu belakang', tetapi melalui 'pintu depan yang dibuka luas' oleh PH sendiri melalui peletakan jawatan PM ke-7.

PAN MENG'UPGRADE' LABEL-LABEL TERHADAP KERAJAAN PH

PAN seperti biasa dalam bab mengeji dan mencela PAS dan PN adalah lebih jauh 'terkehadapan'. Mereka adalah soldadu, bukan pemikir atau penggubal dasar. Bila DAP dan PKR 'melabel', mereka mengulang label sedia ada dan menambah cemuhan baru.

Antaranya; 'bersekongkol dengan penyamun yang akan menyebabkan disentuh api neraka', 'kerajaan Melayu Islam konon', 'sibuk membahagikan ghanimah' dan banyak lagi sindiran yang dapat memuaskan hati mereka sendiri.

Hampir tidak ada yang terlepas daripada cemuhan mereka termasuk terhadap Datuk Dr. Zulkifli Mohammad Al-Bakri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

MENG'UPGRADE' CEMUHAN KEPADA CERCAAN TERHADAP TUAN GURU

Terkini, dua aktivis PAN cuba mengangkat nama mereka dengan mencerca dan melaknat Tuan Guru. Iaitu, saudara Ahmad Sayuti Basiron yang dilantik sebagai salah seorang Lembaga Pemegang Amanah YADIM oleh Kerajaan PH dan Azhar Abdul Shukur, bekas calon PAN dalam PRK Sungai Besar.

Cercaan mereka sehingga ke tahap 'melaknat' dan 'mencelakan' batang tubuh Tuan Guru Presiden PAS dan mengecop beliau sebagai 'masuk neraka dahulu tanpa hisab'.

MEREKA AKAN KECEWA

Melaknat seseorang tanpa sebab yang benar, tidak akan membawa kita ke mana. Ia hanya menunjukkan kelemahan peribadi kita dan kegagalan kita menguruskan emosi.

Menegur dan menasihatkan pemimpin dan para ulamak ada cara lembut dan kerasnya. Ada cara berterus terang dan ada cara sindiran berkias. Tetapi tidak termasuk dengan 'melaknat'.

Tetapi berhadapan dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang, termasuk PAN tentulah tidak mudah bagi Tuan Guru. Semua ini adalah lumrah dan asam garam dalam perjuangan.

Petikan kata Presiden PKR yang masyhur, DS Anwar Ibrahim, "Jika takut pada risiko, usah bicara soal perjuangan!". Kata orang-orang tua pula, "Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai".

Nabi Muhammad SAW, kekasih Allah SWT, juga dicaci maki dan dicerca oleh pemimpin-pemimpin Arab dengan lebih teruk lagi; termasuk 'gila', 'pemecah belah keharmonian keluarga dan masyarakat' dan ''putus keturunan' lantaran tiada keturunan anak lelaki yang baligh. Dan banyak lagi.

Tidaklah cercaan mereka itu menjatuhkan ketinggian keperibadian baginda Rasulullah SAW. Bahkan darjat baginda SAW menjadi lebih tinggi di sisi Allah dan penerimaan Ummat manusia terhadap baginda menjadi lebih luas.

Ya, mereka akan kecewa. Dan akan semakin kecewa bila melihat semakin ramai lebih mengenali keperibadian Tuan Guru.

SENARAI PANJANG INDIVIDU YANG KELUAR PAS YANG MENCEMUH DAN MELAKNAT TUAN GURU

Tuan Guru pernah memegang jawatan Pengerusi Lembaga Disiplin PAS dan membuat keputusan yang 'panas' semasa memegang jawatan itu. Beliau pernah dicemuh dengan teruk oleh ramai pimpinan PAS yang dipecat atau yang keluar parti sejak tahun 80-an lagi.

Pada hari ini, peranan menjatuhkan maruah Tuan Guru melalui cercaan dan penghinaan kata-kata berbentuk tulisan dan ucapan dipikul oleh PAN. Ranking yang pertama tentulah dipangku oleh YB Hanifa Maidin. Disusuli oleh YB Mahfuz dan YB Khalid Samad.

Nampaknya saudara Ahmad Sayuti dan saudara Azhar Abdul Shukur juga berhasrat untuk mencabar ranking pertama yang dipegang oleh YB Hanifa. Sebelum ini sudah ada pencabar lain seperti YB Raja Bahrin, Ustaz Zolkharnain Abidin al-Abyadhi dan beberapa pencabar lagi.

Namun tentulah kita tidak mahu terlibat untuk mengulas lebih panjang tentang persaingan dalaman sesama PAN dalam perkara ini.

SIKAP TUAN GURU KEPADA ORANG YANG MENGHINA BELIAU

Akhbar Sinar melaporkan pada 18 April tahun lepas, di mana seorang pelajar membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mengkritik beliau menerusi laman sosial sebelum PRU14 lalu, di hadapan semua pelajar, guru dan kakitangan Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) sempena majlis Bicara Tokoh Alumni.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi secara terbuka juga memaafkan pelajar berkenaan sambil menyifatkan sikap memberi kemaafan kepada seseorang akan mendapat ganjaran dan kelebihan di sisi Allah SWT jua.

"Jika Tuhan Yang Maha Besar boleh mengampunkan dosa hambaNya, saya ni apalah sangat", ujarnya.

PENUTUP

Sikap Presiden PAS ini adalah bertepatan dengan sifat ibadur Rahman yang diceritakan oleh Allah SWT dalam Surah al-Furqan, ayat 63.

"Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini".

Sehingga hari ini, beliau tidak menjawab celaan orang yang mencelanya, bahkan beliau langsung tidak mengendahkannya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo