Isteri MB Terengganu jahit PPE


BERSTATUS isteri kepada Menteri Besar Terengganu, tidak menghalang Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman, menyumbang tenaga menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) buat petugas kesihatan di negeri itu.

Lebih membanggakan, Tuan Faezah turut dibantu empat anaknya iaitu Amirah Ahmad Samsuri, 26, Fahmi, 23, Wardah, 20 dan Jasmeen, 16.



Tuan Faezah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Zah, menjelaskan tidak mahu ketinggalan dan melepaskan peluang menghadiahkan PPE kepada petugas kesihatan yang sedang bertungkus-lumus merawati pesakit Covid-19.

Jelasnya, PPE diusahakan bersama empat anak akan disumbangkan kepada petugas barisan hadapan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Inisiatif menjahit PPE untuk disumbangkan kepada petugas perubatan itu adalah hasil dorongan suami, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan mendapat kerjasama sukarelawan kalangan muslimah di negeri ini.

“Kerja menghasilkan PPE adalah projek muslimat negeri dan Kak Zah mengambil kesempatan untuk turut menjahit sebagai memenuhi masa terluang,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.

Tuan Faezah menjelaskan, sejak kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu, banyak masa terluang terutama jadual aktiviti harian dibatalkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Pergerakan Kak Zah juga terbatas dan dihadkan selepas beberapa program anjuran kerajaan negeri ditangguhkan berikutan PKP.

“Kak Zah juga tidak digalakkan mengikut suami (Ahmad Samsuri) yang sentiasa turun padang menyantuni rakyat di seluruh negeri ini, ” katanya yang mengakui kerja menyiapkan PPE turut dilakukan sukarelawan di kediaman masing-masing.

Tuan Faezah menjelaskan, projek menyediakan PPE kepada petugas perubatan adalah program dianjurkan Muslimat negeri.

“Kain dibekalkan oleh Muslimat negeri dan diagihkan kepada sukarelawan untuk dijahitkan di kediaman masing-masing.

“Kerja menjahit dan menyiapkan PPE adalah sumbangan kecil kami dengan kemahiran yang ada kerana menyedari pakaian itu menjadi keperluan penting bagi barisan hadapan ketika ini.

Tuan Faezah menjelaskan, semua PPE termasuk dijahit oleh sukarekawan Muslimat akan dikumpul untuk diagihkan kepada petugas kesihatan.

Menurutnya, sebanyak 100 pasang PPE berjaya disiapkan dalam tempoh dua minggu sepanjang tempoh PKP fasa kedua.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/04/569804/isteri-mb-terengganu-jahit-ppe
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post