Gelora di Laut China Selatan


oleh: Abdul Muein Abadi

ISU kehadiran kapal China dan kapal perang Amerika Syarikat di perairan kita kelihatan masih belum reda meskipun Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah membuat kenyataan akhbar yang cukup penting tentang isu itu minggu lepas.

Memetik antara kenyataan bertarikh 23 April 2020 berkenaan:
Malaysia menegaskan komitmen untuk mempertahankan kepentingan dan haknya di Laut China Selatan. Malaysia berpandangan bahawa Laut China Selatan perlu kekal sebagai laut yang aman bagi laluan perdagangan. Maka, segala perkara yang berkait dengan Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman berasaskan prinsip undang-undang antarabangsa, termasuklah Konvensyen Undang-Undang Laut PBB (UNCLOS) 1982.
Pada 26 April 2020, data daripada South China Sea News menunjukkan bahawa kapal hidrografi China, Haiyang Dizhi 8 telah memasuki perairan di Kawasan Kerjasama Malaysia-Vietnam. Pada hari sama juga, kapal pengawal pantai China Haijing 5203 dikesan berada 3 batu nautika dari pelantar minyak di perairan Miri.

Pada 27 April pula kapal pengawal pantai China dirakam berada di perairan Bintulu, Sarawak sepertimana yang dikongsi laman Malaysia Military Power. Maka tidak hairanlah jika kapal-kapal perang Amerika Syarikat (AS) masih berterusan menjalankan pelbagai simulasi latihan di Laut China Selatan. Pelbagai aktiviti latihan dijalankan seperti di atas kapal USS America (LHA 6).

Sesungguhnya, perkembangan itu benar-benar menjadi perhatian para penganalisis antarabangsa. Malah, Hishammuddin sendiri juga telah mengingatkan kedua-dua Amerika dan China:

Sebagai bekas Menteri Pertahanan, saya benar-benar mengambil maklum dan sedar dengan situasi semasa. Kita mesti menghindari insiden kemalangan yang tidak disengajakan di perairan ini.
Meskipun undang-undang antarabangsa menjamin kebebasan pelayaran, kehadiran kapal-kapal perang di Laut China Selatan berpotensi meningkatkan ketegangan yang boleh mengakibatkan kesilapan perkiraan serta memberi kesan kepada keamanan, keselamatan, dan kestabilan di rantau ini.

Diplomatik

Hishammuddin menutup kenyataan akhbar beliau seperti berikut:

Pendirian kami adalah bahawa sebarang pertikaian seharusnya diselesaikan dengan cara muhibah melalui kaedah yang aman, diplomasi, dan kepercayaan bersama antara kesemua pihak yang terlibat. 
Hanya kerana kami tidak membuat sebarang kenyataan umum mengenai isu ini tidaklah bermakna kami tidak mengusahakan segala langkah di atas, kami telah mengusahakan komunikasi terbuka dan berterusan dengan semua pihak yang terlibat, termasuklah Republik China dan Amerika Syarikat.
Mesej yang disampaikan oleh kerajaan Malaysia sebenarnya sudah cukup jelas. Dalam keadaan seluruh dunia sedang bergelut dengan isu pandemik Covid-19 serta kejatuhan harga minyak global, kita tidak memerlukan konflik tambahan di Laut China Selatan.

Namun begitu, mungkin ada yang merasakan kerajaan Malaysia seolah-olah kurang keras terhadap China mahupun AS. Perlu diingat, ibarat menarik rambut dalam tepung, Malaysia telah menggunakan saluran diplomatik yang rasional dan wajar bagi mengendurkan gelora antara China dan AS.

Malah, dalam konteks negara kita, ekonomi kita bergantung pada hubungan yang baik dengan kedua-duanya iaitu Beijing dan Washington. Eksport kita ke China sahaja tidak kurang daripada RM140 bilion manakala ke AS pula menghampiri RM100 bilion setahun. Dalam keadaan kita merancang untuk memulihkan ekonomi segera pascapandemik Covid-19 nanti, permintaan daripada China dan AS tentulah amat kita harapkan.

Dalam masa sama, seperti ditegaskan Hishammuddin, kita tetap tidak berganjak walau seinci pun dalam mempertahankan hak kita untuk mengeksplorasi sebarang sumber hidrokarbon dalam Zon Ekonomi Eksklusif serta perairan kita. Buktinya, kapal West Capella yang disewa Petronas masih tetap berada di kawasan yang kita tegaskan sebagai wilayah kita.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post