NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

COVID-19: Malaysia ada kelebihan ekonomi - Bank Dunia


KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai kelebihan berbanding negara lain dalam mendepani impak negatif penularan COVID-19 yang mencetuskan kejutan ekonomi global, demikian kata Bank Dunia.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Richard Record mengakui sememangnya negara ini akan terjejas dengan impak penularan virus itu, namun Malaysia mempunyai beberapa faktor yang menjadikannya lebih utuh berbanding kebanyakan negara lain dalam mengekang impak berkenaan.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai struktur ekonomi yang pelbagai, rekod pengurusan ekonomi makro yang mantap, pasaran modal domestik yang mendalam, institusi kewangan yang utuh dan pengalaman lalu dalam menangani krisis.

“Walaupun cabaran semasa ini tidak pernah berlaku sebelumnya, dengan sebab ini (kelebihan yang ada) Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk berdepan cabaran,” katanya kepada BH bagi mengulas mengenai kedudukan Malaysia dalam berdepan impak penularan COVID-19, semalam.

Mengulas lanjut Record berkata, impak COVID-19 terhadap ekonomi sebahagian besarnya akan bergantung kepada kaedah Malaysia diuruskan dalam menangani wabak pandemik itu, dan pada masa sama melindungi isi rumah yang mudah terjejas, syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan struktur meluas ekonomi daripada impak kejutan dicetuskan virus itu dan langkah yang dilaksanakan untuk mengekang pandemik.

Beliau berkata, seperti kebanyakan negara, Malaysia juga berdepan prospek penguncupan ekonomi, dan sebagai tindakan balas, kerajaan membuat pelarasan tepat pada masanya terhadap dasar fiskal dan monetari.

“Berbanding dengan ekonomi lain, pakej rangsangan RM260 bilion adalah besar (kira-kira 17 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK), tetapi lebih banyak bergantung kepada langkah bukan fiskal terutama penangguhan pembayaran balik pinjaman dan pengeluaran daripada caruman dana persaraan.

“Rangsangan komponen fiskal agak sederhana, mencerminkan paras ruang fiskal yang ada di negara ini serta kesan harga minyak yang lebih rendah ke atas hasil kerajaan.

“Suntikan langsung fiskal adalah RM35 bilion (kira-kira 2.3 peratus daripada KDNK) dan keutamaan lebih ke arah pemindahan langsung (bantuan) kepada rakyat,” katanya.

Mengulas sama ada Malaysia mempunyai ruang fiskal jika krisis COVID-19 bertambah buruk, Record berkata, pihaknya melihat tiga kemungkinan untuk negara ini mewujudkan lebih banyak ruang fiskal.

Beliau berkata, yang pertama, terdapat pilihan untuk membuat penyesuaian yang lebih mendalam terhadap item perbelanjaan operasi semasa bagi menyediakan sumber tambahan untuk tindak balas krisis bidang yang diutamakan.

Walau bagaimanapun, jelasnya, penjimatan mungkin tidak mencukupi untuk membiayai langkah rangsangan yang besar.

“Kedua ialah pendapatan tambahan bukan cukai boleh ditingkatkan untuk membiayai perbelanjaan rangsangan tambahan seperti dividen tambahan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau penjualan aset fizikal.

“Ketiga ialah campur tangan Parlimen dapat menghapuskan sementara sekatan kepada paras dan penggunaan tadbir urus pengurusan hutang awam.

“Dalam semua ini, kerajaan harus berhati-hati menyeimbangkan peruntukan sumber tambahan untuk keperluan perbelanjaan keutamaan dengan menjaga kredibiliti jangka sederhana institusi negara dalam pengurusan fiskal,” katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo