NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

COVID-19: CSM keluar 3 amaran sepanjang PKP


KUALA LUMPUR, 16 Syaaban 1441H, Jumaat – Tiga amaran dan saranan keselamatan berkaitan COVID-19 telah dikeluarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM), Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, amaran berkenaan dikeluarkan bagi menangani jenayah siber sepanjang PKP di samping saranan mengenai keselamatan siber, yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, setakat ini Pusat Bantuan Cyber999 tidak menerima sebarang laporan berkaitan penggodaman terhadap panggilan atau sidang video.

"Penjenayah siber mengambil peluang untuk mengaut keuntungan dengan melakukan penipuan dalam talian (Fraud) membabitkan scam serta e-mel 'Phishing' menggunakan isu COVID-19, selain serangan 'malware' seperti 'Ransomware'.

"Sesebuah organisasi berkemungkinan menjadi sasaran kepada serangan lebih besar seperti Penafian Perkhidmatan (Denial of Service – DDOS), Spam dan Spear-phishing Email yang mampu mengganggu atau merosakkan sistem rangkaian mereka," katanya seperti dilapor media tempatan.

Beliau mengulas mengenai dakwaan ancaman serangan siber ke atas agensi kerajaan dan rakyat sepanjang tempoh PKP, termasuk insiden penipuan atas talian dan aplikasi mudah alih palsu.

Pada masa sama, Amiruddin menjelaskan bahawa kaedah menggodam terbahagi kepada dua iaitu secara teknikal dan kejuruteraan sosial atau mungkin gabungan kedua-duanya.

Beliau berkata, mangsa boleh mengenal pasti penggodaman berlaku apabila tidak dapat mengakses akaun e-mel, media sosial, data peribadi ataupun maklumat sulit.

Laman sesawang berpotensi digodam seperti insiden 'web defacement', penafian perkhidmatan (DOS/DDOS attack), percubaan pencerobohan dan 'hosting malicious file' atau program, jika tidak dikemas kini atau gagal mematuhi amalan terbaik.

"Selain itu, berlaku transaksi tidak sah, sama ada perbankan, kad kredit atau aplikasi pembelian dalam talian serta menerima mesej amaran dari pihak pentadbir aplikasi digunakan menyatakan akaun mereka sudah diakses dan mencurigakan.

"Bagaimanapun, maklumat dan bukti tertentu perlu diperolehi dan analisa teknikal harus dilakukan, bagi memastikan sama ada aplikasi kerajaan atau individu digodam," katanya.

Laporan insiden atau ancaman siber boleh dibuat di talian 1-300-88-2999 atau 0192665850; e-mel ke cyber999@cybersecurity.my serta mengisi borang dalam talian di https://www.mycert.org.my.

Info amaran dan saranan keselamatan dikeluarkan CSM:

1) 'COVID-19: Penipuan dan Scam' disiarkan di https://www.mycert.org.my/portal/advisory?id=MA-779.032020, pada 18 Mac lalu.

2) 'Bekerja dari Rumah: Nasihat Keselamatan dan Amalan Terbaik' disiarkan di https://www.mycert.org.my/portal/advisory?id=MA-780.032020, pada 21 Mac lalu.

3) 'Online Video Tele-conferencing (VTC) Application Security Guidelines' disiarkan di https://www.mycert.org.my/portal/advisory?id=MA-782.042020, Selasa lalu.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2020/04/10/covid-19-csm-keluar-3-amaran-sepanjang-pkp1/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo