NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Polemik dan Pandemik – KWSP & COVID19: Syahir Sulaiman



Perdana Menteri mengumumkan, “Semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan".

Tambah beliau, “Saya berharap inisiatif ini dan juga pengurangan kadar caruman KWSP pekerja sebanyak 4% akan membolehkan para pekerja mempunyai lebih wang dalam poket untuk membeli barang-barang keperluan harian”.

“Nasihat saya kepada anda semua yang akan menerima manfaat ini, gunalah wang ini sebaik mungkin. Beli barang-barang yang perlu sahaja dalam waktu yang agak sukar ini. Yang penting, pastikan setiap hari ada makanan di atas meja untuk seisi keluarga”.

“Walaupun jumlahnya mungkin tak seberapa, tetapi inilah wang hasil titik peluh anda sendiri yang sepatutnya digunakan untuk hari tua, tetapi Kerajaan benarkan wang ini digunakan pada masa ini memandangkan ada dalam kalangan saudara-saudari yang memerlukan”.

“InsyaAllah, jika wang ini digunakan secara berhemah, akan ada keberkatannya untuk saudara dan saudari seisi keluarga”.

Pastinya polisi ini akan dikritik, dan setiap cadangan wajar diperhalusi. Pandangan saya,

1. Polisi ini adalah langkah 'suntikan awal' yang biasa dilakukan ketika ekonomi 'mula perlahan' (slowdown), untuk membolehkan pengguna terus berbelanja dan menghalang ekonomi menuju kemelesetan (recession).

2. Pastinya Kerajaan telah mempertimbangkan beberapa dasar ekonomi yang sesuai, namun perlu mengambil kira pelbagai implikasi sebelum diumumkan. Malah pengumuman ini adalah salah satu daripada pelbagai langkah dan ‘suntikan’ yang telah diambil Kerajaan semasa wabak COVID19 menular.

3. Termasuklah juga cadangan pembangkang untuk dikecualikan potongan cukai berjadual dan penggunaan rizab Kerajaan tanpa mengira defisit dan hutang Kerajaan. Semuanya perlu diperhalusi dan dipertimbangkan mengikut kemampuan dan keperluan.

4. Malah banyak lagi cadangan yang boleh difikirkan seperti subsidi gaji pekerja, diskaun cukai pendapatan, makanan percuma serta bantuan tunai kepada yang bekerja sendiri dan golongan rentan (vulnerables).

5. Selain itu bantuan ekonomi dan kebajikan perlu digerakkan secara sistematik dan disokong oleh Kerajaan Negeri, institusi perbankan, NGO, sukarelawan dan badan masyarakat seperti persatuan penduduk dan masjid supaya bantuan dapat disalurkan kepada kumpulan sasaran.

6. Persoalannya, adakah kita berada dalam fasa ekonomi yang perlahan (economic slowdown), kemelesetan (economic recession), atau dalam fasa menuju kemelesetan (heading towards a recession)?

7. Ini kerana semua fasa ini memerlukan ‘policy intervention' yang berbeza, mengikut kemampuan dan keperluan. Kementerian Kewangan menguruskan dasar fiskal (cukai, subsidi), manakala Bank Negara menguruskan dasar monetari (BLR, SRR), dan kedua-dua dasar ini perlu bergerak secara selari (parallel).

8. Jika dibandingkan dengan kemelesetan ekonomi 1998 dan hari ini, puncanya adalah berbeza. Krisis 1998 berpunca daripada sistem kewangan yang lemah, hutang yang tinggi dan kejatuhan matawang serantau (termasuk Ringgit), mengakibatkan kadar pertumbuhan KDNK menguncup ke paras negatif 7%.

9. Sekarang isunya adalah wabak COVID19 yang menjejaskan sektor tertentu secara khusus (cth. pelancongan, perkhidmatan), dan merencatkan ‘aktiviti ekonomi’ secara umum di seluruh negara dalam tempoh kawalan pergerakan 14 hari. Kesannya boleh menjejaskan ekonomi untuk tempoh yang lebih lama, melangkaui suku ke-3 dan ke-4 bagi tahun 2020.

10. Sekiranya rantaian jangkitan wabak COVID19 dapat dipatahkan, fasa pemulihan ekonomi akan berlaku dengan segera.

Berbalik kepada polemik KWSP, selama ini pun pengeluaran simpanan KWSP memang sudah dibenarkan untuk tujuan tertentu sahaja. Setiap caruman KWSP akan dibahagi kepada dua akaun:

a. Akaun 1 (70%) - tidak boleh dikeluarkan hingga umur pencen.

b. Akaun 2 (30%) - boleh dikeluarkan untuk tujuan yang dibenarkan oleh KWSP dan Kerajaan cth pendidikan, pembelian rumah, tambang Haji, kesihatan, kecemasan.

Justeru pesanan Perdana Menteri agar rakyat perlu berhemah adalah tepat, dan rakyat perlu terus berbelanja untuk menggerakkan ekonomi yang perlahan dalam tempoh kawalan 14 hari ini.

Pesanan saya, sebolehnya 'mengusik' simpanan KWSP adalah langkah terakhir dan dalam keadaan yang sangat terdesak sahaja. Dahulukan pengeluaran simpanan luarjangka yang lain (jika ada), sebelum mengeluarkan simpanan hari tua dalam akaun KWSP.

Paling penting adalah kita semua berperanan untuk memulihkan keadaan - patahkan rantaian wabak COVID19 dan gerakkan rantaian ekonomi - dalam tempoh 14 hari yang kritikal ini.

Syahir Sulaiman, Day #7 MCO

Bacaan lanjut:

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid-19-pencarum-kwsp-dibenar-keluar-rm500-sebulan-bermula-1-april-234864

https://www.pmo.gov.my/2020/03/kenyataan-sidang-media-yab-perdana-menteri-mesyuarat-mten-melibatkan-covid-19/

https://www.kwsp.gov.my/ms/-/epf-to-allow-account-2-withdrawals-under-i-lestari

https://www.kwsp.gov.my/documents/20126/131466/Pengeluaran+i-Lestari+-+Soalan+Lazim+Asas.pdf

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo