NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Peringatan kepada pemimpin-pemimpin politik: buat kerja!


Tun Abdul Hamid Mohamad
13 03 2020

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) baharu sahaja ditumbangkan. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baharu, masih belum stabil, jika ada undi tidak percaya, belum tentu ia akan kekal atau tidak. Kabinet PN baharu sahaja diisytiharkan. Ahli-ahlinya belum pun sempat membuat apa-apa kerja untuk memperbaiki kerosakan yang dilakukan oleh krajaan PH dalam tempoh 22 bulan itu. Keadaan negara begitu teruk dengan masalah ekonomi, Covid-19, harga barang yang naik melambung, minyak sawit tidak laku, harga petroleum dan nilai saham jatuh merudum dan berbagai-bagai lagi.


Pemimpin-pemimpin parti-parti komponen PN sudah pun membangkitkan rasa tidak puas hati mengenai pembahagian jawatan dalam kabinet PN di antara parti-parti komponen PN. Masing-masing mahu lebih untuk partinya.

Berapa banyak jawatan Menteri hendak diwujudkan untuk diberi kepada setiap parti dan setiap orang supaya mereka berpuas hati?

Nampaknya, pemimpin-pemimpin itu tidak berubah, tidak mengambil iktibar daripada kekalahan dalam Pilihan Raya Umum 14 (PRU 14) (terutama sekali pemimpin-pemimpin UMNO), lebih mementingkan diri dan parti daripada kepentingan negara, bangsa dan agama.

Tidakkah mereka sedar bahawa musuh-musuh politik mereka dalam PH dan blog-blog internet yang menyokong PH menunggu peluang sahaja untuk melaga-lagakan mereka dan menjatuhkan kerajaan PN yang ibarat telur di hujung tanduk itu? Fikirlah sedikit.

Bagi yang dilantik, belajarlah daripada pegawai-pegawai di kementerian masing-masing mengenai bidang kuasa dan tugas masing-masing. Anda tidak terus tahu segala-galanya mengenai tugas anda apabila dilantik menjadi Menteri atau Timbalan Menteri. Janganlah hendak tunjuk pandai dalam perkara yang anda tidak tahu, nanti yang akan nampak adalah kebodohan anda.

Tolonglah jangan bangkitkan lagi isu pembahagian jawatan Menteri dan Timbalan Menteri. Tumpukanlah masa, tenaga dan fikiran kepada tugas masing-masing. Rakyat sedang memerhati anda. Jangan bagi mereka meluat dengan anda. Anda memerlukan undi kereka.

Bagi yang tidak terpilih, gunakalah kesempatan ini untuk menguatkan parti masing-masing untuk menang dalam PRU 15. Jika menang kabinet akan disusun semula, saya percaya mengikut kekuatan parti.

Pada masa ini, yang penting ialah mengambil alih pemerintahan daripada PH; menguatkan kerajaan PN supaya tidak kalah undi tidak percaya; memperbaiki kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan PH; memperkaiki ekonomi negara dan taraf kehidupan rakyat; membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan PN boleh memerintah Malaysia lebih baik daripada kerajaan PH dan membuat persediaan untuk menghadapi PRU 15.[i]

tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo