Pemilihan PM ke-8 bukan terburu-buru



BANGI, 6 Rejab 1441H, Ahad – Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai perdana menteri kelapan bukan satu keputusan yang dibuat secara terburu-buru.

Sebaliknya, Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Anuar Shah Bali Mahomed menegaskan, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan semua pihak.


Katanya, Agong telah pun memanggil kesemua Ahli Parlimen menghadap baginda dan setiap dari mereka diperuntukkan antara dua hingga tiga minit untuk menyatakan pandangan masing-masing, sepanjang proses temu bual berlangsung.

Baginda juga berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan perdana menteri baharu, selaras Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan.

"Kronologi itu sendiri menunjukkan bahawa proses memilih perdana menteri ini bukan dilakukan secara terburu-buru. Agong mengambil kira semua suara.

"Proses itu melibatkan masa seminggu, saya kira banyak juga masa yang tuanku luangkan untuk perkara ini, termasuk memanggil Majlis Raja-raja. Semua proses telah dilaksanakan oleh Agong.

"Pada hemat saya, semua pihak perlu menerima keputusan ini selepas semua proses dilaksanakan," katanya dalam program Pertiwi Eksklusif PM ke-8, yang disiarkan di TV Pertiwi, hari ini.

Dalam satu kenyataan media, semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda berpandangan Muhyiddin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Keputusan itu dicapai selepas ketua-ketua parti politik dan Ahli Dewan Rakyat bebas mengemukakan nama calon perdana menteri kepada Agong.

"Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

"Proses seterusnya ialah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai perdana menteri pada 1 Mac 2020 (Ahad) jam 10.30 pagi di Istana Negara," memetik kenyataan itu.

Sebentar tadi, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah pun selesai mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan, di Istana Negara yang sekali gus menamatkan kemelut politik melanda negara sejak 22 Februari lalu.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2020/03/01/pemilihan-pm-ke-8-bukan-terburu-buru/
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post