Pegang prinsip taat setiap kepada Agong, negara


SERDANG, 8 Rejab 1441H, Selasa – Anggota perkhidmatan awam harus berpegang teguh kepada prinsip taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara, Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan yang memerintah, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Suriani Ahmad.

Ketika mengingatkan perkara itu pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2019 KKMM di Taman Ekspo Pertanian Serdang Malaysia (Maeps) di sini hari ini, Suriani berkata adalah menjadi tanggungjawab anggota perkhidmatan awam bagi memastikan segala urusan kerajaan berpandukan 'kedaulatan undang-undang'.

Menurutnya, kedaulatan undang-undang mengandungi prinsip-prinsip bahawa semua orang dan institusi tertakluk dan bertanggungjawab kepada undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

"Dalam apa jua tugas yang dilaksanakan, adalah penting melaksanakannya dengan penuh amanah dan berintegriti, serta tidak sesekali mengutamakan kepentingan diri sendiri atau kepentingan pihak-pihak tertentu," katanya.

Mengimbas tarikh 1 Mac lepas, Suriani berkata, ia merupakan satu detik bersejarah apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan dan peralihan tampuk pemerintahan berlaku tanpa sebarang perkara yang tidak diingini, yang membuktikan kematangan politik rakyat Malaysia.

"Sebagai penjawat awam, peranan kita sangat penting kerana kita perlu bijak menangani perubahan secara profesional, adil dan saksama serta berintegriti," katanya.

Dalam ucapan yang sama, Suriani turut mengingatkan penjawat awam untuk menggunakan media sosial secara bijak untuk pembangunan minda dan nilai-nilai yang baik dan bukannya menyebarkan perkara yang negatif dan bersifat keanak-anakan.

Beliau berkata, media sosial seperti WhatsApp, Twitter, Instagram dan Facebook menjadi medium penting yang telah banyak mempengaruhi reaksi masyarakat terhadap dasar-dasar dan tindakan yang diambil oleh kerajaan.

"Penjawat awam pula tidak terlepas daripada menjadi sasaran tohmahan dan kritikan rakyat. Dalam pada masa yang sama, ada juga penjawat awam sendiri yang menggunakan media sosial untuk melontarkan sindiran serta kecaman," katanya.

Beliau mengingatkan mengenai Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berhubung tegahan membuat pernyataan awam.

Dalam peraturan itu, menurutnya pegawai awam tidak boleh, secara lisan atau bertulis membuat apa-apa penyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan kerajaan atau membuat ulasan mengenai apa-apa dasar, rancangan atau keputusan kerajaan sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain.

Suriani berkata, pegawai awam harus memelihara integriti sepanjang masa dan sentiasa berusaha meningkatkan produktiviti dan hasil kerja ke arah yang lebih baik dan melangkaui kebiasaan.

Ia hanya akan tercapai sekiranya pegawai awam dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, katanya.

"Penggunaan media sosial dengan emosi tanpa batasan dan kawalan hanya menimbulkan implikasi negatif kerana secara tidak langsung ia akan mengurangkan tumpuan pegawai terhadap tugas hakiki yang dipertanggungjawabkan," katanya. – Bernama
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post