NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Manfaatkan tabung masjid bantu anak kariah: Dr Zulkifli



BANGI, 28 Rejab 1441H, Isnin – Kebajikan umat Islam di Wilayah Persekutuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan sentiasa menjadi prioriti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, beberapa usaha telah dilaksanakan melalui misi #MUSAADAHCOVID19 yang memfokuskan asnaf dari Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri yang telah dikenalpasti.

Di samping itu katanya, kebajikan petugas barisan hadapan (frontliners) tanpa mengira agama dan bangsa serta keperluan hospital di Wilayah Persekutuan juga tidak dikesampingkan.

“Bagi menyebar luaskan misi #MUSAADAHCOVID19 agar dapat diraikan secara saksama, saya mengarahkan Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk memanfaatkan tabung masjid bagi membantu anak-anak kariah yang memerlukan bantuan kewangan,” katanya.

Pada masa sama, Dr Zulkifli meminta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyelaraskan perkara ini di semua masjid dan Surau Diri Jumaat dalam Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan.

“Saya amat meraikan sekiranya hal ini disambut dengan baik oleh semua pihak yang terlibat. Bagi pelaksanaan perkara ini di peringkat negeri, ia diserahkan kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di setiap negeri,” katanya.

Ketika ini, ramai pihak sedaya upaya cuba memberikan sumbangan wang dan makanan kepada petugas bagi membantu meningkatkan perkhidmatan kesihatan dan keperluan asas golongan terpinggir.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menubuhkan satu akaun khas bagi membolehkan orang ramai menyumbang.

Sumbangan orang ramai ini akan digunakan bagi tujuan membeli alat-alat kelengkapan perubatan, keperluan seperti ubat-ubatan, reagen, bahan pakai buang serta keperluan-keperluan perubatan lain yang berkaitan di Fasiliti KKM.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun: Sumbangan Perubatan KKM 2-66016-0002347-5 (RHB Bank).

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo