#DaulatTuanku:Menjunjung Kasih Atas Perlantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin Sebagai Perdana Menteri Ke-8

oleh: Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
1 Mac 2020

1. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menjunjung kasih atas perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melantik YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-8.


2. Pastinya titah Baginda sebagai Ketua Negara dibuat berpaksikan kepada kepentingan dan kelangsungan sebuah negara dan rakyatnya. Pastinya juga seluruh negara merasa lega dan teruja dengan perutusan bersejarah dari Istana Negara kelmarin dan peristiwa mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pagi ini.

3. Pemuda UMNO melihat pelantikan ini menamatkan suatu kemelut politik yang mendebarkan dan belum pernah berlaku dalam sejarah moden politik Malaysia. Kemelut yang berpunca dari kerakusan dan perebutan kuasa antara dua pihak yang akhirnya meleburkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahkan meruntuhkan kerajaan PH dek kerana 'tangan-tangan' mereka sendiri.

4. Sekalung penghargaan diucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana mengambil sikap matang, rasional dan bertenang sepanjang tempoh krisis politik ini berlaku.

5. Kepada seluruh jentera dan warga perkhidmatan awam, sekalung penghargaan tidak terhingga kerana mempamerkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada KDYMM Seri Paduka Baginda YDP Agong selaku Ketua Negara dan dalam meneruskan kesinambungan perjalanan pentadbiran sektor awam dengan lancar kepada rakyat dan negara seluruhnya.

6. Kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin diucapkan tahniah atas pelantikan sebagai Perdana Menteri yang baharu. Semoga dapat melaksanakan amanah yang diberikan sebaiknya berpaksikan kepentingan rakyat dan negara.

Daulat Tuanku

Negaraku Malaysia

***Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia


Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post