NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

COVID-19: Agong titah umat Islam adakan solat hajat di rumah


KUALA LUMPUR, 24 Mac -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan semua rakyat mengadakan solat hajat khusus bagi menolak penularan wabak COVID-19 yang sedang melanda negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata titah itu disampaikan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin kepada pihaknya, petang tadi.

Justeru Zulkifli berharap semua pihak dapat bersama-sama menyahut titah Al-Sultan Abdullah dengan melaksanakannya di rumah dan tempat masing-masing, di samping mematuhi arahan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini.

“Solat hajat tersebut boleh dilakukan pada waktu siang atau malam kecuali pada waktu-waktu yang diharamkan solat.

“Begitu juga, marilah kita membanyakkan istighfar, taubat, zikrullah dan amalan ketaatan serta munajat yang tak putus-putus kepada-Nya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkifli turut berkongsi waktu-waktu yang diharamkan solat iaitu sesudah solat Subuh hingga terbit matahari, selepas terbit matahari hingga kadar tujuh hasta pandangan mata (kira-kira 3 darjah), ketika matahari tegak di atas kepala kecuali pada hari Jumaat, selepas solat Asar dan ketika matahari kemerahan di waktu senja hingga terbenam seluruh bulatannya.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo