NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

COVID-19: UniMAP sumbang terowong sanitasi mudah alih kepada Hospital KPJ Bukit Mertajam


BUKIT MERTAJAM, 24 Mac -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi Pusat Pengajian Diploma (PPD) menyumbang terowong sanitasi mudah alih kepada Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang, di sini bagi membantu petugas barisan hadapan membendung penularan wabak COVID-19.

Naib Canselor UniMAP Prof Dr R Badlishah Ahmad berkata produk penyelidikan hasil ciptaan bersama penyelidik UniMAP Erdy Sulino Mohd Muslim Tan dan Mat Nor Mohammad Ismail itu mampu menghilangkan virus atau bakteria yang melekat pada pakaian pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan dan ujian saringan di hospital berkenaan.

"Ini merupakan satu sumbangan kecil kami untuk bersama-sama membantu barisan hadapan yang sedang berusaha keras melawan virus yang melumpuhkan dunia pada hari ini. Saya menyeru agar semua universiti dan institusi pengajian tinggi di negara ini yang mempunyai produk atau hasil penyelidikan yang boleh membantu meringankan beban barisan hadapan untuk tampil bersama-sama," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Erdy Sulino berkata terowong itu beroperasi secara automatik apabila orang melaluinya dan ia mampu menyemburkan kabus sehalus 10 hingga 15 mikron dengan menggunakan sanitiser tanpa alkohol.

"Terowong sanitasi ini amat praktikal kerana ia mudah alih dan boleh diletakkan di tempat-tempat yang berisiko sekali gus memudahkan staf KPJ menguruskannya. Sehingga kini, kami mendapat beberapa permintaan daripada syarikat perkilangan dan hospital swasta di sekitar Pulau Pinang dan Kedah untuk memasang terowong sanitasi ini," katanya.

Sementara itu, sebuah badan kebajikan One Hope Charity and Welfare memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi membeli kelengkapan aset perubatan kritikal dan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk hospital dan klinik kesihatan di negeri ini.

Pengerusi One Hope Charity, Chua Sui Hau berkata pihaknya akan membekalkan sebanyak 10,000 PPE dan 200,000 unit penutup hidung dan mulut (perubatan/ pembedahan) ke hospital dan klinik di negeri ini serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) secara berkala dalam masa terdekat.

"Bantuan ini adalah hasil sumbangan masyarakat yang bersatu hati dalam menjadikan One Hope Charity sebagai saluran mereka untuk melakukan kerja-kerja kebajikan.

Pembelian bantuan aset perubatan kritikal dan PPE itu diharap dapat membantu sedikit sebanyak Kementerian Kesihatan untuk membendung wabak ini," katanya dalam kenyataan.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo