NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tindakan AG langkau kuasa eksekutif KDN nyatakan LTTE pertubuhan pengganas



1. PERSATUAN Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) sangat terkejut dan kecewa dengan keputusan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang menghentikan tiga puluh empat pertuduhan terhadap dua belas orang tahanan di bawah SOSMA yang dijadual akan dibicarakan dalam masa beberapa bulan lagi.

2. PPMM sedar Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa Peguam Negara memulakan, meneruskan atau memberhenti sesuatu tindakan jenayah di mahkamah sivil. Walau bagaimanapun kuasa tersebut perlu dilaksanakan secara kehakiman (judicial). Sebagai seorang penjawat awam Peguam Negara perlu memberi pertimbangan kepada keselamatan negara, kepentingan dan keselamatan awam serta perhatian media.




3. Pertimbangan-pertimbangan tersebut perlu dibuat secara telus berdasarkan faktorfaktor di Malaysia bukan negara asing seperti Australia, Eropah ataupun Sri Lanka. Malah Peguam Negara mesti memberi pertimbangan serius kepada pandangan yang diberikan oleh Pihak Polis yang merupakan penjaga keselamatan dalam negara.

4. Sehingga kini tiada langsung kenyataan daripada pihak polis menyatakan LTTE bukan lagi isu keselamatan negara. Malah LTTE masih tersenarai sebagai pertubuhan pengganas di Malaysia. Tindakan Peguam Negara ini telah melangkaui kuasa eksekutif (Kementerian Dalam Negeri) yang menyatakan LTTE adalah pertubuhan pengganas. Peguam Negara tidak diketahui pernah memberi nasihat kepada Menteri Dalam Negeri mengeluarkan LTTE dari senarai ini sebelum daripada ini tetapi terus secara unilateral membuat kesimpulan LTTE bukan pertubuhan pengganas.

5. Malah Peguam Negara juga gagal menzahirkan kepada awam di dalam kenyataannya bahawa Pihak Polis menyokong keputusan beliau. Hal ini sangat serius kerana melibatkan keselamatan negara. Adakah keputusan Peguam Negara tersebut membawa implikasi kesemua tahanan DAESH juga perlu dilepaskan?

6. Natijah dari tindakan Peguam Negara ini timbul juga beberapa persoalan adakah keputusan beliau ini disebabkan penolakan dua orang Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Tuan Mohd Zaini Mazlan dan Tuan Collin Lawrence Sequerah terhadap cabaran kepada keabsahan sesksyen 13 SOSMA di sisi Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menolak ikat jamin OKT kes LTTE.

7. Timbul juga persoalan samada berlaku salahguna kuasa dalam jawatan awam (misfeasance in public service) daripada keputusan tersebut. Seterusnya kemampuan Peguam Negara menjalankan tugas, peranan dan tanggungjawab sebagai Pendakwa Raya juga turut boleh dipersoalkan.

8. Peguam Negara juga mengatakan pertuduhan yang dibuat pada 29 Oktober 2019 itu adalah berkaitan dengan kesalahan yang didakwa berlaku lebih enam tahun sebelum itu dan ia sudah terlalu lama dan tidak berkepentingan awam. Sebenarnya tidak ada batasan masa di dalam undang-undang jenayah bagi mendakwa seseorang. Keputusan Peguam Negara ini menggarap satu duluan (precedent) yang merbahaya di dalam pengendalian perbicaraan jenayah. Seksyen 6 Akta Had Masa 1953 menyatakan tindakan tidak boleh diambil selepas tamat tempoh enam tahun dari tarikh kausa tindakan terakru bagi kes-kes mengenai kontrak dan tort, bukan kes jenayah. PPMM berharap Peguam Negara tidak terkhilaf membaca peruntukan tersebut.

9. Persoalan yang lebih besar ialah kenapa dulu pada 29 Oktober 2019 mereka dituduh tetapi sekarang pada 21 Febuari 2020 ditarik balik, dalam tempoh kurang dari empat bulan? Apakah pertimbangan semasa mengemukakan pertuduhan dan apa pula pertimbangan semasa menarik balik pertuduhan? Kenapakah keputusan drastik dibuat dalam tempoh tidak sampai empat bulan tersebut? Keputusan tersebut telah mencalar integriti dan kewibawaan Polis Diraja Malaysia dan Pendakwa yang mendakwa kes-kes tersebut.

10. Kuasa Peguam Negara di dalam Perkara 145(3) ini sebenarnya boleh dipersoalkan berdasarkan kepada kes-kes yang telah diputuskan umpamanya pada 31 Disember 2019 mantan Pengarah Asian International Arbitration Centre, N Sundra Rajoo telah dilaporkan berjaya di dalam permohonan semakan kehakimannya terhadap keputusan Peguam Negara menuduh beliau atas tiga kesalahan pecah amanah jenayah lebih RM 1 juta kepunyaan AIAC.

11. Hakim Datuk Mariana Yahya memutuskan kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan boleh dipersoal melalui permohonan semakan kehakiman. Hakim yang sama juga telah memberi kebenaran untuk semakan kehakiman difailkan oleh seorang pemandu Yew Wei Liang yang dituduh atas kesalahan membunuh semasa memandu.

12. Oleh itu kuasa Peguam Negara tersebut bukanlah sepenuhnya bersifat ‘non justiciable’ berdasarkan keputusan kes-kes terkini di atas.

13. PPMM berpandangan tindakan mahkamah perlu dibuat oleh mana-mana pihak berkepentingan bagi mencabar keputusan Peguam Negara ini dan sebagai isyarat kepada Peguam Negara tidak sewenang-wenangnya menggunakan kuasa yang ada pada beliau tanpa pertimbangan undang-undang yang betul.

14. Tindakan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas ini dan beberapa siri tindakan beliau sebelum ini menzahirkan ketidakmampuan beliau menggalas tanggungjawab sebagai Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Pada hemat PPMM adalah lebih baik beliau mengundurkan diri dari jawatan tersebut secara terhormat.

15. Sekiranya beliau enggan, PPMM merafak sembah kepada Yang DiPertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri agar menggantikan Peguam Negara yang lebih berkemampuan dan telus di dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

*Datuk Haji Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo