NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

TH hari ini bukan TH yang dulu?

oleh: Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

SEJAK semalam, laman-laman media sosial menularkan surat dikeluarkan oleh pemangku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) bagi memaklumkan penutupan empat anak syarikatnya yang beroperasi di Pulau Pinang, Terengganu, Kedah dan Sabah.

Menurut surat berkenaan juga, penutupan operasi disebabkan pengurusan dan pemilikan bangunan-bangunan berkenaan telah dipindahkan ke Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB), syarikat bertujuan khas (SPV) yanv dimiliki oleh Kementerian Kewangan (MOF).

Berita itu walau bagaimanapun tidak mengejutkan namun ia tetap berita yang sedih bagi umat Islam.

Semua yang berlaku itu berkait rapat dengan tindakan pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah era Malaysia Baharu yang kononnya ingin menyelamatkan institusi ulung umat Islam daripada ‘defisit’ RM4.1 bilion yang dimomok-momokkan kepada rakyat sebagai penyebab kepada kemelut TH.

Kita masih ingat lagi bagaimana ‘Menteri Haji’, Datuk Dr Mujahid Yusuf pada April 2019 telah mengumumkan bahawa sejumlah aset TH bernilai RM9.63 bilion akan dipindahkan (dijual) kepada UJSB dan TH pula akan menerima sukuk bernilai RM19.6 bilion yang diterbitkan oleh UJSB bersama tunai sebanyak RM300 juta.

Antara aset-aset TH yang dijual kepada UJSB adalah tanah-tanah bernilai dan berpotensi tinggi seperti plot tanah di Tun Razak Exchange (TRX), hotel-hotel, minyak dan gas serta pemilikan ekuiti saham syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia seperti Malakoff, Hap Seng Plantation Berhad, IJM, MMHE, Mah Sing Group, Eastern and Oriental Berhad dan lain-lain.

Kita tidak akan lupakan bagaimana yakinnya bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH, Datuk Seri Zukri Samat mengumumkan ‘pakej penyelamatan’ itu dan Menteri Haji pula tersenyum bangga dengan transaksi tersebut seolah-olah TH sudah selamat di bawah pengawasan beliau.

Cuma, keputusan Zukri meninggalkan TH walaupun beliau ialah ‘arkitek utama’ pakej itu amat pelik kerana belum pun sampai setahun sebagai CEO, beliau berundur atas alasan kesihatan dan beban pelaksanaan pakej penyelamatan ditanggung Nik Mohd Hasyudeen Yusof selaku CEO baharu.

Terlepas

Keseluruhan episod yang berlaku itu adalah satu titik hitam kepada sejarah perjalanan TH dan sejumlah 9.4 juta pendeposit yang membentuk nilai simpanan lebih RM75 bilion.

Jika dahulu, sewaktu era Barisan Nasional (BN), TH ditatang dan diberikan pelbagai keistimewaan untuk memastikan induk dan ibu kewangan Islam serta pembangunan ekonomi ummah kekal kukuh dan bermanfaat kepada rakyat Malaysia khususnya umat Islam.

Kini, rakyat Malaysia, umat Islam dan pendeposit mampu melihat dan bertanya bagaimana aset-aset TH yang dikumpul, dibina dan dibesarkan akan terlepas ke tangan mereka yang tidak diketahui identiti dan motifnya.

Bulan Januari tempoh hari, kita digegarkan dengan skandal penjualan 72.6 peratus tanah perladangan yang dimiliki anak syarikat TH iaitu Kumpulan TH Plantation Berhad (THP).

Ramai yang mempersoalkan logik THP sebagai sebuah syarikat perladangan menjual tanah ladang diletakkan di bawah 14 anak syarikat mereka.

THP masih gagal menjustifikasi kadar diskaun 14 peratus bagi nilaian harga pasaran (market value) yang dibuat oleh firma Khong and Jaafar bagi sebuah transaksi melibatkan anak syarikat THP iaitu Bumisuria Ventures Sdn Bhd dan Maju Warisanmas Sdn Bhd kepada Tamaco Plantation Berhad.

Oleh itu, wujud keperluan untuk dialog mencari kebenaran bagi memberikan ketenangan dalam kalangan umat Islam khususnya pendeposit TH.

Namun, gesaan itu diketepikan berkali-kali oleh Menteri Haji kerana tidak sama level. Apabila digesa untuk sebuah suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi Tabung Haji seperti yang dijanjikan sendiri oleh Buku Manifesto PRU14 Pakatan Harapan, dengan mudah Menteri Haji berkata ‘tidak perlu’.

Tuntas, TH kini bukan TH yang dulu. Dahulu TH adalah agensi pengurusan jemaah haji dan simbol keyakinan rakyat pada pembangunan ekonomi umat Islam, kini mereka seperti sedang mencari identiti.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo