NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sikap PAS : Pelihara Kepentingan Islam Dan Umatnya



Berpolitik Adalah Untuk Pelihara Agama, Negara dan Rakyat, Bukan Kepentingan Diri, Pengaruh, Kedudukan dan Kuasa.

Oleh : Nasrudin bin Hassan
https://m.facebook.com/serbandililit

1. Harapnya hari ini rakyat dapat melihat pelan penyelesaian yang terbaik dan pula memihak kepada agama, negara dan rakyat terhadap kemelut politik yang tercetus sejak beberapa hari yang lalu.

2. Meletakkan negara di awangan ekoran perjudian politikus yang merebut takhta adalah suatu yang sangat mendukacitakan. Tentu sahaja fenomena ini menjejaskan kestabilan ekonomi dan politik sekaligus menjejaskan tahap keselamatan negara dan rakyatnya.

3. Saya melihat kemelut politik yang membawa kepada runtuhnya kerajaan PH ini adalah angkara persaingan dan pertarungan pemimpin politik sesama mereka yang dahagakan kuasa dan akhirnya memangsakan rakyat.

4. Selain daripada keputusan penyelesaian konflik ini ditangan KDYMM YDPA, para pemimpin politik boleh membantu untuk tidak memanjangkan konflik yang memangsakan rakyat. Justeru di sana perkara yang boleh bertolak ansur seperti kepentingan diri, kelompok dan pengaruh. Subjek ini boleh dikompromi untuk meringkaskan usaha menamatkan konflik.

5. Terdapat subjek yang tidak boleh berkompromi. Lantaran ia adalah suatu yang bersifat prinsipal seperti agama, kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

6. Polemik politik negara kini berada diperingkat usaha membentuk sebuah kerajaan baharu diatas keruntuhan kerajaan lama (PH). Tentu sahaja pihak yang sekurang-kurangnya memiliki majoriti mudah sahaja yang boleh membentuk kerajaan.

7. Realitinya, sehingga saya menulis dipagi yang penuh keberkatan ini, tiada satu pihak (parti) pun yang memiliki majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Kini masing-masing sedang mencongak dan mencatur langkah kompromi bagi membentuk koalisi yang melayakkan mereka menubuhkan kerajaan baharu.

8. Bagaimanapun harapan dan kemahuan rakyat, ia banyak bergantung kepada “corak penyelesaian” yang diambil oleh 222 orang ahli parlimen.

a) Rundingan mereka sewajibnya mengambil kira kepentingan Agama Islam dan umatnya layak sebagai agama persekutuan seperti yang termaktub di dalam perlembagaan negara. (Dominasi golongan anti Islam seperti DAP mestilah dielakkan)

b) Kiranya mereka gagal mencapai kata sepakat sehingga tiada pihak yang memiliki majoriti mudah yang dimaksudkan, maka ia kembali kepada YDPA selaku ketua negara untuk memutuskannya dan satu pilihan yang ada ialah membubarkan parlimen dan mengembalikannya kepada pilihan semula daripada rakyat melalui pilihanraya.

9. Inilah konsistensi PAS dalam membina sikap. Sejak awal PAS mengemukakan sokongan kepada kepimpinan Tun M untuk kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal meskipun berdepan desakan dari pihak DS Anwar Ibrahim yang sangat mendambakan jawatan tersebut. Justeru PAS menyedari, kabinet DS Anwar hanyalah mengekalkan dominasi DAP

10. Sedang PAS bersedia untuk berkompromi dengan mana-mana pihak yang membentuk kerajaan asal sahaja mereka menjaga kepentingan Islam dan menolak penguasaan DAP.

11. Kemudiannya, apabila Tun M tidak semena-mena meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan mencetus konflik politik yang makin rumit, PAS masih menyatakan sokongannya kepada Tun M untuk menerajui negara sebagai Perdana Menteri ke 8. Ertinya PAS tidak menyokong DS Anwar dan teamnya DAP.

12. Malangnya, Tun M pula mengambil pendekatan terbaru beliau untuk membentuk sebuah kerajaan bersama DAP jika masih diberi kepercayaan sebagai Perdana Menteri. Sedang PAS telah menyatakan sokongan bersyaratnya iaitu “Menyokong Tun M tanpa DAP”

13. Bermula diselekoh ini, PAS bertegas dan tiada kompromi dalam urusan menjaga kepentingan Agama Islam setelah Tun M menolak sokongan bersyarat yang diberikan oleh PAS. Sementara DS Anwar juga tidak memiliki majoriti mudah untuk menyelamatkan kerajaan PH-DAP, maka PAS mengambil pendirian untuk menyokong langkah pembubaran parlimen dan ianya selaras dengan Muafakat Nasional.

Islam Memimpin Perpaduan

Sekian.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo