Lebih Baik Tutup PH, Bukan TH


oleh: AHMAD MARZUK BIN SHAARY
26 Jamadil Akhir 1441 | 20 Februari 2020

Jangan pertikai hak rakyat dan pembangkang untuk menyuarakan kritikan terhadap Tabung Haji kerana banyak maklumat yang disampaikan tidak telus. Jika disorot dari awal, isu ini bermula daripada pertikaian terhadap laporan audit yang dikeluarkan oleh PriceWaterhouseCoopers (PwC) yang dilihat bercanggah dengan audit Ernst & Young dan Laporan Ketua Audit Negara. Susulan itu, banyak tindakan yang diambil oleh LTH dan Menteri (Agama) seperti subsidi haji dan penamatan operasi empat hotel THHR ditempelak oleh rakyat.

Saya turut mengikuti isu perpindahan aset LTH yang bernilai RM19.9 bilion kepada syarikat Urusharta Jamaah Sdn Bhd. Sebahagian daripada ekuiti yang dipindah milik boleh dipersoalkan seperti pegangan LTH dalam Digi, Hap Seng Plantation dan MISC. Adakah ekuiti-ekuiti tersebut mengalami kerugian belum direalisasikan melebihi 20%? Begitu juga 29 buah hartanah strategik yang dipindah milik atau dijual kepada UJSB. Adakah hartanah (hotel, bangunan komersial dan tanah) tersebut tidak mencatatkan hasil (yield) melebihi 2 peratus?



Persoalan ini timbul disebabkan maklumat penyata kewangan terutama melibatkan hartanah seperti rangkaian hotel TH tidak didedahkan kepada awam. Tambahan pula, Laporan Tahunan Tabung Haji Tahun 2018 masih belum diterbitkan. Mengapa? Hal yang sama turut berlaku bulan lepas mengenai transaksi penjualan dua anak syarikat TH Plantations Berhad kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd. Siapakah jurunilai yang dilantik dan bagaimana ia membuat penilaian rosot nilai daripada RM380 juta (2017) kepada hanya RM122 juta sahaja?

Banyak maklumat tidak telus dan tidak selaras berlaku termasuk daripada Menteri (Agama) sendiri. Ia menggambarkan kelemahan pentadbiran dan komunikasi sangat serius. Jika hal penting ini gagal diselesaikan, lebih baik tutup operasi PH kerana merugikan rakyat.

Sekian, terima kasih.

AHMAD MARZUK BIN SHAARY ialah Ahli Parlimen Pengkalan Chepa

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post