PRK Kimanis: Warisan Digemari, Rakyat Berpuashati Dengan Kerajaan Sabah?




Kow Gah Chie

PRK KIMANIS | Parti Warisan Sabah dilihat mempunyai kelebihan berbanding BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis, yang hanya berbaki enam hari sebelum menjelang tarikh pengundian pada 18 Jan.

Warisan, yang mengemudi kerajaan Sabah, mempunyai sumber dan jentera kerajaan negeri serta sokongan padu daripada kerajaan persekutuan.

Mereka telah berkempen berhempas pulas di kawasan luar bandar itu, yang memiliki seramai 29,644 pengundi dan terletak kira-kira 55 kilometer dari Kota Kinabalu.

Presiden Warisan yang juga ketua menteri Sabah, Shafie Afdal turun berkempen di kubu kuat BN, yang sebelum ini diwakili Anifah Aman hampir setiap hari.
Iklan

Shafie tanpa mengira penat lelah, berceramah dalam majlis-majlis sambutan perayaan untuk menyampaikan mesej mengenai pembangunan dan agenda kerajaan negeri.

Beliau juga menyeru rakyat Sabah menolak Umno dan BN yang berasaskan semenanjung, yang sebelum ini didakwa gagal membawa pembangunan ke negeri itu.

Shafie (gambar) dan calon Warisan, Karim Bujang menghabiskan banyak masa berkempen di Kampung Kadazandusun Murut (KDM) bagi memberi penerangan berhubung isu Pas Sementara Sabah (PSS) yang didakwa BN memberi ruang kepada pendatang asing mendapat kerakyatan.

Jentera Warisan juga menyasarkan Batu Enam yang merupakan kampung kelahiran dan pusat daerah mengundi (PDM) bagi calon BN, Mohamad Alamin.

Sebaliknya, BN cuma dilihat memainkan isu PSS yang didakwa akan memberi laluan mudah bagi pendatang meraih kewarganegaraan walaupun Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan bahawa isu itu merupakan salah faham.

Namun, ramai pengundi di Kimanis masih ragu-ragu berkenaan perlaksanaan PSS ekoran perkembangannya.

BN juga berjanji melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebaik sahaja kembali menawan Putrajaya walaupun pada April lalu anggota parlimennya menetang undi untuk meminda Artikel 1 (2) Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama di peringkat persekutuan.

BN bekerjasama dengan bekas anggota parlimen Kimanis, Anifah Aman iaitu abang kepada Musa Aman dan parti pembangkang tempatan, iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Meskipun BN menang dengan majoriti besar semasa PRK Tanjung Piai pada November tahun lalu, ia dilihat kerana faktor Muafakat Nasional yang dibawa Umno-PAS. Namun, di Kimanis, PAS tidak dilihat sebagai parti yang popular atau berpengaruh di Sabah atau Sarawak.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang muncul tiga hari sebelum hari penamaan calon.

Namun himpunan yang dinamakan "Himpunan Muafakat Rakyat Sabah" anjuran BN pada 15 Jan itu, gagal mempamerkan kekuatan kepimpinan PAS.

Penganalisis percaya Warisan mempunyai kelebihan

Penyelidik bebas, Jeniri Amir berkata sukar bagi BN memenangi PRK Kimanis memandangkan Warisan mempunyai jentera, wang dan media.

“PRK di Kimanis dan Tanjung Piai adalah dua situasi berbeza. Sentimen di Tanjung Piai tidak menentu tetapi rakyat Kimanis umumnya gembira dengan Warisan,” katanya.

Selain itu, Perunding Sabah berkenaan hal ehwal kerajaan dan risiko politik, Noel Meldan berkata Kimanis adalah kempen peribadi yang memaparkan personaliti tempatan terkena, khususnya Karim dari Warisan.

Beliau berkata ini tidak seperti PRK Tanjung Piai di mana Pakatan Harapan bergantung kepada personaliti politik seperti Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan menteri persekutuan seperti Yeo Bee Yin dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Ia merupakan pertandingan pemimpin tempatan dan personaliti di Kimanis," katanya sambil menambah Shafie tidak sepatutnya membayangi calon Warisan.

Beliau juga percaya Karim yang berumur 67 tahun mempunyai kelebihan berbanding Mohamad, yang 19 tahun lebih muda.

“Karim, walaupun kesetiaannya dalam BN dan menyokong Musa, digugurkan setelah berkhidmat kepada masyarakat selama lima penggal.

"Pengundi akan mempertimbangkan rekodnya dan bagaimana dia harus memberi laluan kepada seseorang yang masih muda. Saya rasa sentimen sedemikian akan dimainkan para pengundi juga," katanya menambah pengalaman dan keperibadian Karim memberikannya kelebihan dalam PRK Kimanis itu.

Penganalisis politik bebas Esther Sinirisan Chong yang berasal dari Sabah menegaskan Umno perlu memainkan peranan seimbang kerana Muafakat Nasional dengan PAS tidak akan diterima secara meluas oleh orang bukan Islam di Sabah.

“KDM yang memeluk Islam berfikiran terbuka, dan tidak boleh menerima konservatif kerana mereka rasa mereka tidak boleh mengambil tapai atau wain beras (dengan PAS),"katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, kerjasama BN bersama parti pembangkang berasaskan KDM seperti PBS dan Star akan mendapat sokongan pengundi dalam kalangan KDM.

Sementara kedua-dua calon berkempen dari rumah ke rumah dan melakukan tinjauan mesra (walk about) untuk meraih sokongan, BN hanya bergantung kepada ceramah kelompok di kawasan kampung dan pemimpin politik tertinggi mereka termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hasan.

Ia juga tidak memberi sebarang kesan kepada kedua-dua parti kerana program sedemikian hanya dihadiri penyokong parti mereka.

Kimanis merupakan kawasan pertanian dan memiliki 29,644 pengundi berdaftar, di mana 63.16 peratus adalah Bumiputera Islam, 30.67 peratus Bumiputera bukan Islam, 3.59 peratus Cina dan 2.58 peratus lain-lain kaum.

Walaupun Sabah mempunyai kira-kira 42 kumpulan etnik yang terdiri lebih daripada 200 kumpulan sub-etnik, pengundi Bumiputera terutamanya dikelaskan sebagai Bumiputera Islam dan Bumiputera bukan Islam.

Seorang petugas parti memberitahu Malaysiakini bahawa Warisan percaya mendapat anggaran 55 peratus sokongan di Kimanis. Bagaimanapun, sumber itu bimbang bahawa BN akan dapat memancing undi dengan isu PSS.

Sebaliknya, petugas Umno percaya tidak mustahil BN mendapat kemenangan dengan majoriti 2,000 undi.

Pada pilihan raya umum 2018, BN memperoleh lebih kurang 53 peratus undi Bumiputera Islam dan 38 peratus undi Bumiputera bukan Islam.

Isu kos sara hidup

Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata keadaan kini berubah sedikit selepas hampir dua tahun Shafie mengetuai kerajaan negeri Sabah.

Beliau berkata faktor ekonomi, termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi akan memberi kesan kepada corak pengundian Kimanis.

"Ekonomi tidak berkembang. Orang ramai di bawah mengadu bahawa gaji mereka tidak berubah sementara mereka perlu mengeluarkan lebih banyak wang untuk barangan," kata profesor Jabatan Sosio Budaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya itu.

Beliau menambah Warisan perlu memastikan perpaduan dalaman dan mengawasi hubungannya dengan Bersatu, rakannya dalam Pakatan Harapan.

Bersatu menarik sejumlah penyertaan daripada anggota Parlimen Umno Sabah apabila ia melebarkan sayapnya ke negeri itu.

Awang Azman menegaskan terdapat kemungkinan berlaku sabotaj atau jentera di lapangan yang tidak berusaha keras untuk memenangi kerusi itu.

Jeniri dan Meldan, bagaimanapun tidak bersetuju dengan pendapat berkenaan dengan mengatakan kekalahan Warisan akan turut menjejaskan kewibawaan PH.

"Ia juga penting kepada Bersatu memastikan Warisan memenangi undi," kata Meldan, sambil menambah Pakatan Harapan memerlukan kemenangan selepas kekalahannya dalam beberapa PRK pada 2019, terutamanya di Tanjung Piai di mana BN menang dengan majoriti 15,087 undi .

Jeniri berkata 'politiking' antara Warisan dan Bersatu akan ditangguhkan sehingga PRU akan datang.

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post