Pesta Pongal: Menjaga batas syariah dalam meraikan kepelbagaian


Disediakan oleh Lajnah Perpaduan Nasional, Dewan Pemuda PAS Malaysia

Latar Belakang dan Sejarah

Pongal merupakan perayaan masyarakat Hindu terutama di Tamil Nadu yang dirayakan pada bulan ‘Thai’ (sekitar pertengahan Januari) dalam calendar India. Ia sempena berakhirnya musim menuai, dimana hasil tuaian ditujukan kepada Suriabhagawan atau Dewa Matahari.

‘Pongal’ dalam bahasa Tamil bermaksud ‘merebus’, dan perayaan ini dirayakan sebagai perayaan kesyukuran bagi musim menuai. Pongal juga merupakan nama nasi manisan yang sering dihidang ketika perayaan ini. Di Tamil Nadu, perayaan ini dirayakan selama empat hari iaitu The Bhogi festival, Thai Pongal, Mattu Pongal dan Kaanum Pongal.

Perayaan Pongal di Malaysia

Kepelbagaian budaya dan agama di kalangan rakyat Malaysia merupakan keunikan di negara ini. Setiap kaum mempunyai kepercayaan dan pegangan agama yang tersendiri. Berdasarkan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (2010), penganut agama Hindu merupakan penganut agama keempat terbesar di Malaysia selepas Islam, Buddha dan Kristian. Pesta Pongal ini merupakan antara perayaan tradisi penganut Hindu di Malaysia.

Hukum Meraikan Perayaan Keagamaan Bukan Muslim

Para ulama’ sepakat bahawa meraikan perayaan keagamaan bukan Muslim adalah haram.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 telah menetapkan beberapa garis panduan dalam mengharuskan umat Islam menghadiri majlis perayaan keagamaan bagi agama lain.

1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.

2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.

3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.

4. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.




Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, hukum makan juadah yang menjadi tradisi hidangan semasa perayaan tertentu adalah dibolehkan selagimana tidak ada kepercayaan tertentu yang melatari penyediaannya dan juadah itu sendiri. Ianya sekadar juadah yang disediakan secara tradisi, tanpa kepercayaan tertentu. Ini termasuklah juadah tradisi Pesta Pongal iaitu nasi manisan ‘Sakkarai Pongal’.

Kesimpulan

Kami menyarankan Umat Islam menghormati perayaan penganut Hindu ini, sebagai meraikan kepelbagaian kaum dan agama di negara kita ini. Namun, kita hendaklah memastikan hukum hakam dan garis panduan yang telah ditetapkan dipatuhi dan dihormati.

Jadilah kepelbagaian kita ini sebagai satu kekuatan dalam membina perpaduan di negara kita yang tercinta ini.

Rujukan:

1. https://www.indiatoday.in/fyi/story/pongal-tamil-nadu-harvest-festival-bhogi-mattu-kaanum-thai-303924-2016-01-15

2. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-afkar/3062-al-afkar-39-muslim-menyertai-pesta-pongal

3. Garis Panduan bagi Meraikan Pesta Pongal Menurut Prinsip Fiqh Al-Ta'ayush (Dewan Ulama PAS Negeri Selangor)

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post