NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pangku Menteri Pendidikan Sementara Sahaja – Tun M


LANGKAWI – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau akan melepaskan segera jawatan Menteri Pendidikan yang dipangkunya sebaik sahaja mendapat penggantinya.

Beliau berkata jawatan berkenaan hanya dipegangnya buat sementara waktu sahaja dan bakal menteri baharu nanti akan dilantik dalam kalangan Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga.

“Bila dapat pilih satu orang untuk ambil alih (jawatan Menteri Pendidikan) akan lepas jawatan ni, cuma sementara sahaja,” katanya kepada pemberita selepas majlis menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2020, di sini, malam ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata Dr. Mahathir memangku jawatan Menteri Pendidikan berkuatkuasa 3 Januari lepas, seperti diputuskan oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu lepas (8 Januari).

Pada 2 Januari lepas, Dr. Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan berkuatkuasa 3 Januari selepas mendapat nasihat Dr. Mahathir, selepas memegang portfolio itu selama 20 bulan.

Sementara itu, ditanya adakah pelantikan Menteri Pendidikan baharu ini memberi bayangan bahawa akan berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat, beliau berkata, “Tidak tahulah mengenai rombakan Kabinet, tapi tentu ada Menteri Pendidikan yang baharu.”

Mengenai kemungkinan akan ada lagi menteri yang berhasrat melepaskan jawatan seperti Dr. Maszlee, beliau berkata jika ada yang ingin berbuat demikian, pihaknya bersedia menerimanya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata pihaknya juga sedang mengkaji adakah akan ‘memecahkan’ Kementerian Pendidikan dengan Pengajian Tinggi seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo