Mengapa pendakwaan kes arwah Adib masih sepi?


MESKIPUN telah memasuki tahun 2020, kes pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat, Allahyarham Adib yang terkorban dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada November 2018 yang lalu masih lagi tinggal tanda tanya.

Sewajarnya pihak yang bertanggungjawab segera menyelesaikan siasatan dan memulakan prosiding mahkamah terhadap pesalah yang terlibat. Persoalannya, mengapa ia terus sepi sehingga ke hari ini seolah-olah tiada tindakan lanjut diambil bagi merungkai keadilan buat Allahyarham Adib?

Tambahan pula, penyelesaian yang diharap terhadap kes ini nampaknya semakin tipis. Sebelum ini pihak Peguam Negara sendiri campur tangan dalam prosiding inkues tanpa sebab yang munasabah sehingga Hakim Mahkamah Koroner mengkritik tindakan Peguam Negara sebagai menyalahi prinsip perundangan.

Apatah lagi dengan status kes Allahyarham Adib yang masih tergantung sehingga ke hari ini mengesahkan lagi kenyataan Hakim Mahkamah Koroner bahawa semua ini hanyalah permainan wayang pihak tertentu serta tidak menggambarkan keseriusan pihak bertanggungjawab mencari jalan keadilan buat saudara Adib.

Saya menggesa pihak berkuasa agar segera menyelesaikan siasatan kes ini dan memulakan prosiding mahkamah secepat mungkin. Keadilan buat Allahyarham Adib perlu dijadikan keutamaan semua pihak hari ini.

Apatah lagi, rakyat juga tertanya-tanya sejauh mana perkembangan kes Allahyarham Adib benar-benar dibawa ke muka pengadilan dan berapa lama lagi masa yang perlu diambil?

Tambahan lagi, Peguam Negara tidak ada lagi kredibiliti untuk memegang jawatan itu khususnya melibatkan kes Allahyarham Adib disebabkan campur tangan beliau dalam prosiding serta keputusan Mahkamah Koroner sebelum ini. Sewajarnya beliau direhatkan dan diberikan kepada seseorang yang lebih layak untuk jawatan tersebut.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB SENATOR DATO’ HAJI HUSAIN AWANG
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post