NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu Agama, Perpaduan Intipati Perjumpaan Bersama Agong


MARANG – Beberapa isu penting termasuk agama, perpaduan kaum dan keharmonian serta kesejahteraan rakyat dibincangkan dalam kunjungan hormat kepimpinan tertinggi PAS menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara kelmarin.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kunjungan itu wajar dan penting memandangkan Seri Paduka merupakan pemimpin yang bertanggungjawab dalam urusan agama Islam.

“Ia lebih bersifat kunjungan hormat dan pada masa yang sama, kita memerintah dua kerajaan negeri dan banyak negeri yang kita ada wakil seperti Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Johor dan Pahang yang menjadi wakil rakyat sebab itu kita menganggap wajar untuk kita menjalinkan hubungan dengan Tuanku, khususnya berkait dengan agama Islam dan orang Melayu di negeri-negeri yang kita wakili.

“Sebab itu dua menteri besar turut hadir bersama iaitu Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar serta pimpinan PAS Pusat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Rusila hari ini.

Abdul Hadi berkata, kunjungan hormat dan perkongsian pandangan itu mendapat respons sangat baik daripada Tuanku.

Jelasnya, perkongsian tentang perpaduan kaum di negara ini turut dibincangkan, khususnya tentang Melayu dan masyarakat majmuk.

“Kita kena ambil kira hubungan kaum di Malaysia ini dan pada masa yang sama, ambil kira Raja Berperlembagaan, agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan termasuklah kebebasan agama lain mengikut batas sempadan,” katanya. – Sinar Harian

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo