NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Aset Negara: Kita VS Norway



ASET NEGARA: KITA VS NORWAY

Oleh: Abdul Muein Abadi

1. Dalam tempoh sebulan, Reuters telah melaporkan berita mengenai dua dana kekayangan negara yang berbeza.

2. Pada 25 Oktober lalu Reuters menerbitkan laporan khas bertajuk ‘Norway wealth fund grows to record 10 trillion crowns’ manakala pada 25 November mereka menerbitkan laporan dana kekayaan negara kita: ‘Malaysia's Khazanah sells stakes worth $1.4 billion, including in Alibaba’.

3. Laporan pertama berkenaan Norway mendapat perhatian yang cukup meluas di peringkat antarabangsa. Dana kekayaan negara (sovereign wealth fund) Norway telah memecahkan rekod nilai sebanyak 10 trilion Crowns atau USD1.09 trilion (RM4.55 trilion).

4. Pencapaian dana yang kebiasaannya dikenali sebagai ‘oil fund’ di Norway ini cukup luar biasa dan wajib mendapat perhatian para pemimpin negara-negara pengeluar minyak – termasuklah negara kita. Lebih khusus lagi, perkembangan ini perlu diberi perhatian oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali.

5. Ibarat kisah dongeng, Norway menemui telaga minyak mereka yang pertama di Lautan Utara (North Sea) pada tahun 1969 tetapi hanya mewujudkan dana kekayaan negara pada tahun 1996, lewat beberapa tahun berbanding kita yang menubuhkan Khazanah Nasional pada tahun 1993.

6. Namun begitu, dalam tempoh tidak sampai 30 tahun, dana kekayaan Norway ini telah berjaya menjana nilai daripada RM0 kepada RM4.55 trilion!

7. Malah Reuters turut berseloroh dalam laporan mereka, bahawa secara purata dana ini mampu untuk memberikan sebanyak USD200 ribu (RM834 ribu) kepada setiap warganegara Norway.

8. Hari ini, saiz dana kekayaan Norway ini berjumlah hampir tiga kali ganda lebih besar berbanding kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka.

9. Kebijaksanaan Norway menjana pulangan daripada pelaburan dalam pasaran kewangan global perlu dicemburui negara-negara pengeluar minyak yang lain.

10. Diuruskan oleh para teknokrat yang cekap dari unit bank negara Norway, dana kekayaan ini melaburkan hampir 70% daripada dana mereka dalam ekuiti global dan 28% dalam portfolio aset berpendapatan tetap.

11. Mereka turut menikmati pulangan lumayan daripada saham Microsoft, Nestle, dan Facebook.

12. Bagaimana pula jika dibandingkan pencapaian dana Norway ini dengan dana kekayaan negara kita, Khazanah Nasional, hari ini?

13. Tentulah kita boleh memberi alasan bahawa berbeza dengan Norway, pulangan hasil petroleum kita diambil oleh kerajaan secara terus daripada Petronas, dan tidak disalurkan kepada Khazanah.

14. Akan tetapi, kita masih boleh membuat perbandingan dari segi trajektori pelaburan, pembelian, dan penjualan (pelupusan) aset-aset antara kedua-dua dana kekayaan negara ini.

15. Jika pada 25 Oktober Reuters melaporkan kejayaan dana kekayaan negara Norway mencapai nilai USD1.09 trilion, tepat sebulan kemudian iaitu pada 25 November pula Reuters melaporkan berkenaan dana kekayaan negara kita.

16. Dalam laporan itu, Khazanah diberitakan menjual pegangan sebanyak USD1.36 bilion (RM5.66 bilion) dalam tujuh firma antarabangsa, termasuklah dalam syarikat gergasi China, Alibaba Group Holding Ltd.

17. Selain daripada menjual RM2.25 bilion pegangan dalam Alibaba, Khazanah turut menjual pegangan mereka dalam BDO Unibank Inc (Filipina), Farfetch (London), Infosys Ltd (India), dan syarikat PT Charoen Pokphand Indonesia Tbk. Turut dilaporkan Reuters ialah jumlah kerugian Khazanah sebanyak RM6.3 bilion pada tahun lepas, dan aset Khazanah yang jatuh 13% kepada RM136 bilion.

18. Laporan Reuters ini menunjukkan pola penjualan aset Khazanah masih berterusan di bawah Pakatan yang sebelum ini menjual pegangan dalam IHH berhad kepada Jepun (RM8.41 bilion), saham CIMB (RM364 juta), M1 Singapura (RM1.65 bilion), Hotel Royale Chulan (RM197 juta), saham Tenaga Nasional (RM1.05 bilion), aset digital Axiata (RM580 juta), hartanah DUO Singapura (RM4.73 bilion), saham dalam syarikat elektrik Arab Saudi (RM289 juta), saham CIMB (RM2 bilion), Pusat Perubatan Prince Court (RM1.02 bilion), lebuhraya bertol di Jakarta (RM2.1 bilion), dan Hotel Andaz Singapura (RM1.44 bilion).

19. Eloklah kiranya Khazanah belajar dengan Norway bagaimana mereka menggandakan nilai aset negara mereka.

Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo