NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Subuh di Wilayah Persekutuan turut tambah lapan minit




BANGI, 2 Rabiulakhir 1441H, Jumaat – Selepas Selangor, hari ini Wilayah Persekutuan juga mengumumkan perubahan waktu solat Subuh ditambah lapan minit berbanding takwim sedia ada.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, pihaknya mengambil prihatin isu tambahan lapan minit sebagai permulaan masuk waktu Subuh dari waktu sedia ada dalam taqwim di Selangor.

Katanya, hal ini kerana darjah ditukarkan dari 20 darjah kepada 18 darjah menjadikan setiap darjah dikira empat minit, justeru, dua darjah menjadikan lapan minit.

"Pada dasarnya, keputusan ini dipersetujui dalam Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-116 pada 20-21 November 2019 Masihi bersamaan 23-24 Rabiul Awwal 1441 Hijrah.

"Ke bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah memperkenankannya untuk dilaksanakan di Wilayah Persekutuan setelah disyorkan oleh Sahibus Samahah Datuk Mufti Wilayah Persekutuan dan juga Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu kenyataan memaklumkan masuk waktu Subuh bagi seluruh negeri Selangor ditambah lapan minit berbanding takwim sedia ada.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, keputusan perubahan itu hanya untuk solat Subuh bagaimanapun, bagi waktu Imsak ia akan dilewatkan iaitu 10 minit sebelum Subuh bermula.

Bagi waktu Syuruk iaitu waktu berakhirnya Subuh dan terbit matahari pula kekal sebagaimana yang dinyatakan dalam taqwim solat.

Justeru, Dr Zulkifli berkata, bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan hendaklah menta'khirkan atau menambah lapan minit azan Subuh berbanding taqwim solat Wilayah Persekutuan yang sedia ada.

Katanya, perubahan itu bermula esok iaitu 30 November 2019 bersamaan 3 Rabiul Akhir 1441 Hijrah.

"Kami akan bahaskan secara khusus berhubung hukum solat Subuh yang telah dilakukan sebelum ini berdasarkan kepada taqwim sedia ada dalam masa yang terdekat.

"Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita taufik dan hidayah dalam melaksanakan ibadat kepada-Nya. Amin," katanya.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/11/29/subuh-di-wilayah-persekutuan-turut-tambah-lapan-minit/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo