NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kenapa MCA, bukan UMNO?


BARISAN Nasional telah membuat keputusan untuk meletakkan calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

Ramai yang mempertikaikan keputusan ini. Samada ia adalah keputusan terbaik dan betul, ia adalah keputusan yang mesti kita hormati.

Yang paling penting ialah satu keputusan telah dibuat dan natijah dari keputusan itu adalah bergantung kepada usaha kita untuk menentukan kejayaan atau kegagalannya.

Saya mempunyai beberapa sebab untuk mempertahankan keputusan ini.

Pertama, Tanjung Piai bukan medan terakhir untuk UMNO. UMNO tidak akan mati hanya dek kerana ia tidak bertanding di Tanjung Piai.

Strategi UMNO untuk memerintah semula adalah lebih besar dan kompleks serta bukan diukur hanya dengan satu lagi kemenangan di Tanjung Piai.

Yakinlah, UMNO punya pelbagai medan lain untuk mempamerkan kehandalannya. Maka bersabarlah untuk kemenangan dalam pertempuran yang lebih hebat dan besar.

Kedua, UMNO dan PAS adalah gabungan yang sangat ‘formidable’. Namun, realiti politik di Malaysia ini, tidak boleh dipisahkan dari kemajmukan demografinya.

Undi Melayu sahaja tidak akan menjadikan kuasa politik Melayu itu unggul. Kemenangan kita mestilah kemenangan untuk semua oleh semua. Maknanya kita memerlukan sokongan pelbagai kaum.

UMNO dan PAS itu berdua dan berdua selamanya. Namun berdua sahaja tidak memadai dalam politik Malaysia. Kita mesti bertiga, berempat dan beramai-ramai.

Lalu memberikan laluan kepada MCA adalah untuk menjadikan UMNO dan PAS dan MCA itu bertiga dan bertiga selamanya dalam meraih kemenangan di hari muka.

Ketiga, UMNO telah membuktikan ia terus relevan melalui pelbagai kemenangan lepas. Tiba masanya untuk MCA pula membuktikan ia masih lagi ampuh.

UMNO dan PAS memberikan ruang di Tanjung Piai ini untuk MCA membuktikan ia masih punya hayat di persada politik Malaysia.

Jika MCA gagal di Tanjung Piai, maka MCA mesti memikirkan jalan hadapan kelangsungannya.

Apalagi bila ia bertanding di saat wibawa Kerajaan PH itu berada pada tahap yang sangat rendah dan menyusut drastik.

MCA mesti menggunakan segala peluang di Tanjung Piai untuk membuktikan bahawa orang Cina sudah mula kembali kepadanya.

Tiada lagi alasan bahawa Tanjung Piai adalah tentang kerusi tradisi atau menyelamatkan maruah dan air muka tokoh tertentu. Ia mesti tentang kekuatan sebenar. Dan MCA mesti membuktikan kekuatan sebenarnya di Tanjung Piai.

Keempat, dalam politik, aspirasi kita mesti diimbangi dengan hakikat yang nyata. Hakikat yang nyata dalam percaturan politik ialah, yang terkuat tidak harus menguasai semua. Tetapi harus memimpin semua dengan bertanggungjawab.

Yang lemah harus dibantu kerana bila yang lemah itu juga jadi kuat, maka yang kuat itu akan menjadi semakin unggul. Jangan lupa, bahawa saling membantu demi menguatkan kesemua itu amalan politik bertanggungjawab.

UMNO dan PAS tidak perlu bertanding semua kerusi untuk membuktikan ia gagah. UMNO dan PAS mesti memimpin, dengan rasa tanggungjawab, dalam membangunkan sinergi pelbagai aktor politik lain untuk membuktikan ia adalah ketumbukan politik yang kuat.

Bila UMNO dan PAS membantu MCA, dan memenangkan MCA, maka yang menang bukan MCA. Tetapi UMNO, PAS dan MCA, iaitu semua sekali.

Malah ia akan menjadi kemenangan berganda untuk UMNO dan PAS. Pertama, kerana ia memberikan ruang untuk MCA demi kesepakatan BN. Kedua, kerana tanpa UMNO dan PAS, tidak mungkin MCA akan berjaya. Dan ketiga, kerana UMNO dan PAS bertanggungjawab dalam tindakannya, mengiktiraf rakan dan mendorongnya untuk berjaya, dengan kerjasama ampuh.

Kepada semua penyokong UMNO dan orang Melayu. Musuh kita bukan MCA. Musuh kita adalah Pakatan Harapan. Lalu jangan kita tewas sebelum bertempur kerana konflik sesama kita. Kita mesti menang dalam persaingan kita dengan Pakatan Harapan.

Tidak menyokong MCA akan merugikan UMNO dan PAS dalam jangka masa pendek dan panjang. Memenangkan Pakatan Harapan pula akan memberikan hayat kepada BERSATU.

Lalu pilihan kita hanya satu, iaitu mematikan BERSATU di Tanjung Piai walau siapa pun wakil kita. Yang penting ialah, panglimanya masih UMNO dan PAS.

Akhirnya, jangan kita lupa bahawa kemenangan adalah tentang kerja keras. Kerja keras kita di Tanjung Piai bukan sekadar untuk memenangkan UMNO, PAS dan MCA, tetapi yang lebih utama ialah memenangkan demokrasi.

Maka bekerja keraslah kita untuk Tanjung Pai kerana itu lah sunnah orang berjuang. Mereka yang tidak putus asa, mereka yang tekun, mereka yang bersunguh-sungguh, pasti akan meraih kejayaan jua insyaAllah. – 7 November 2019.

DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN,
Naib Presiden UMNO.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo