NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengurangan Tempat Letak Kereta Boleh Dilaksanakan Jika Sistem Pengangkutan Awam Telah Lengkap.



Menteri Pengangkutan telah mencadangkan kelonggaran penyediaan tempat letak kereta untuk pemaju yang membina projek-projek TOD ( Transit-oriented Development / Pembangunan Berorientasi Transit ) iaitu projek-projek yang berhampiran dengan stesen transit seperti LRT, MRT atau KTM.

REACH boleh bersetuju dengan cadangan tersebut jika pengangkutan awam kita telah lengkap, menyeluruh dan cekap. Tetapi cadangan ini belum lagi boleh dilaksanakan jika rakyat masih terpaksa menggunakan kenderaan sendiri untuk sampai ke sesuatu destinasi kerana sistem pengangkutan awam yang belum menyeluruh. Mungkin terdapat pengangkutan awam yang disediakan tetapi rakyat terpaksa bertukar LRT, MRT, KTM atau bas beberapa kali untuk ke destinasi mereka. Atau perjalanan mengambil masa 3 hingga 4 kali ganda berbanding dengan menaiki kenderaan sendiri.

Maka cadangan ini tidak seharusnya dilaksanakan sehingga sistem pengangkutan awam kita selesai dilengkapkan dan dipertingkatkan.

Walau bagaimanapun tidak wajar untuk memansuhkan sama sekali peruntukan tempat letak kereta untuk unit-unit kediaman yang dijual. Terdapat peruntukan di mana pemaju perlu menyediakan satu tempat letak kereta bagi setiap kediaman berstrata di bawah RM100,000 sebuah dan lebih dari satu untuk setiap kediaman berstrata melebihi RM100,000 sebuah. Peruntukan ini tidak wajar dimansuhkan kerana keperluan pembeli akan berubah dengan masa. Apa akan terjadi kepada mereka yang tidak mampu memiliki kereta ketika membeli kediaman tetapi mampu membelinya selepas beberapa tahun? Adakah mereka terpaksa mencari kediaman lain?

Kemungkinan besar penduduk akan meletakkan kereta di jalan-jalan di luar pembangunan seperti yang berlaku hari ini. Ini akan menyusahkan penduduk tempatan kerana berdasarkan pengalaman hari ini pihak Polis dan Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT ) menghadapi masalah untuk menguatkuasakan undang-undang. Walaupun kereta-kereta disaman berkali-kali namun pemiliknya tetap berdegil.

Peruntukan letak kereta tambahan atau untuk tetamu mungkin boleh dikurangkan tetapi mestilah tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat. Pilihan juga boleh diberikan kepada pembeli untuk membeli tempat letak kereta tambahan. Ini juga dapat mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung oleh pemaju. Walau bagaimanapun kerajaan mesti memantau agar pemaju tidak memaksa pembeli membeli tempat letak kereta tambahan itu

Cadangan ini sememangnya boleh memanfaatkan pembeli rumah jika pemaju telus dengan kos pembinaan sesuatu pembangunan. Tetapi kita bimbang pemaju tidak mendedahkan kos sebenar untuk menyediakan setiap unit tempat letak kereta itu.

Hari ini terdapat pemaju yang melaporkan kos untuk satu tempat letak kereta adalah RM50,000. Walau bagaimanapun adakah pemaju akan membuat potongan RM50,000 kepada harga jualan rumah? Atau adakah ketika itu mereka akan melaporkan kos tersebut hanya RM20,000 dan hanya membuat potongan RM20,000?

Walau bagaimanapun kita tidak seharusnya melihat cadangan ini dari sudut pengurangan kos sama ada kos membina untuk pemaju atau kos memiliki untuk pembeli sahaja. Pembangunan di dalam kawasan TOD perlu mempertimbangkan pelbagai aspek. Pelan Struktur Selangor ( Selangor Structure Plan ) contohnya menetapkan 9 perkara yang perlu dipatuhi oleh pemaju di dalam kawasan TOD di antaranya adalah penyediaan rumah mampu milik, kawasan perniagaan mampu milik dan kemudahan awam.

Walaupun pelan tersebut menetapkan kawasan 400 meter dari stesen transit diklasifikasi sebagai kawasan TOD namun bukan semua pembangunan di dalam kawasan itu sesuai dengan pelan TOD. Oleh itu agak aneh, cadangan pengurangan tempat letak kereta ini dibuat oleh Menteri Pengangkutan. Walhal sepatutnya bagi perkara yang merangkumi aspek-aspek perumahan dan perancangan bandar perlu dibuat oleh Menteri Perumahan. Tambahan pula kuasa untuk menetapkan peraturan bilangan tempat letak kereta adalah di bawah PBT seperti Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran dan bukan Kerajaan Persekutuan tetapi Menteri yang menjaga PBT adalah Menteri Perumahan.

Dato' Iskandar Abdul Samad
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan / Resource Centre For The Advancement Of The Community And Housing
21 Safar 1441 / 20 Oktober 2019

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo