NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Antara Sensasi Retorik Dengan Solusi Realistik


oleh: Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen

1. Media merupakan satu wahana untuk menyampaikan berita, maklumat dan perkembangan semasa. Kuasa media memang tidak dinafikan lagi kerana ia boleh membentuk pemikiran dan pendapat masyarakat. Kini media tidak lagi dikuasai oleh media tradisional dan konvensional, sebaliknya perkembangan teknologi menyaksikan penguasaan media baharu. Namun, baik media tradisional/konvensional atau media baharu, model yang digunakan tetap sama iaitu untuk mendapatkan pembaca, penonton atau pengikut yang ramai. Lazimnya perkara yang diketengahkan bagi tujuan ini adalah membawakan perkara-perkara yang bersifat sensasi (selalunya diistilahkan sebagai “nilai berita”).

2. Disebabkan tumpuan kepada aspek “nilai berita” ini, maka berita mengenai perkembangan sains dan teknologi sering tidak mendapat tempat. Jika ada berita mengenai sains dan teknologi, selalunya ia melibatkan perkara-perkara sensitif, kontroversi atau malapetaka. Kalau ada sekalipun tumpuan diberikan kepada perkembangan sains dan teknologi, ia dilihat dalam bahan terbitan (cetak atau elektronik) yang sememangnya mengkhusus dalam bidang sains dan teknologi. Contoh dari luar negara termasuk portal Sains Alert, Futurism, Sci Tech Daily, Futurity, National Geographic dan Asia Research News. Di Malaysia pula, terdapat Majalah Sains dan The Petri Dish sebagai contoh.

3. Tidak menghairankan apabila kita hari ini lebih mengenali artis dan politikus berbanding saintis dan teknologis kerana artis dan politikus mendapat liputan yang lebih meluas berbanding saintis dan teknologis. Media juga sukakan mereka yang bersifat kontroversi dan lantang bercakap. Lantaran itu, mereka yang mempunyai ciri-ciri seperti ini yang sering mendapat tempat dalam pelaporan media berbanding dengan mereka yang bekerja secara senyap-senyap menyelesaikan masalah yang berlaku secara praktikal dan realistik.

4. Bagi sesiapa yang prihatin dengan aktivisme perubahan iklim, nama Greta Thunberg memang dikenali. Beliau berasal dari Sweden dan berusia 16 tahun. Greta Thunberg mula menjadi masyhur apabila beliau melakukan protes di hadapan Parlimen Sweden pada usia 15 tahun dengan melancarkan mogok sekolah kerana perubahan iklim. Gerakan beliau mendapat perhatian dunia sehingga beliau menjadi ikon dalam aktivisme perubahan iklim di seluruh dunia (Cohen & Heberle, 2019). Namanya juga semakin disebut-sebut apabila beliau berucap di hadapan pemimpin dunia semasa UN Climate Action Summit di New York pada 23 September 2019 (Read, 2019). Frasa “How dare you!” yang dituturkan oleh Thunberg semasa siding kemuncak tersebut menjadi mantera aktivisme perubahan iklim. Kelantangan dan keberanian Thunberg menjadikan beliau antara calon pilihan untuk dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan akan datang (Hartley-Parkinson, 2019).

5. Bandingkan pula dengan nama Boyan Slat. Beliau berasal dari Belanda dan berusia 25 tahun. Pada usia semuda ini, beliau telah mengasaskan dan mengetuai organisasi bukan kerajaan (NGO) bidang kejuruteraan alam sekitar yang dikenali sebagai The Ocean Cleanup. NGO ini membangunkan teknologi untuk membersihkan plastik yang mencemari lautan luas (Winter, 2014). Usaha ini menampakkan hasil apabila The Ocean Cleanup beberapa hari yang lalu telah berjaya mengutip plastik yang terbuang dan terkumpul di kawasan yang dikenali sebagai “Great Pacific Garbage Patch” (Davidson, 2019).

6. Hakikatnya tidak ramai yang mengetahui usaha Boyan Slat ini berbanding dengan tumpuan media yang diberikan kepada Greta Thunberg. Pastinya kedua-dua mereka memainkan peranan yang penting dalam menangani isu alam sekitar; yakni Thunberg dengan aktivisme menangani perubahan iklim manakala Slat dengan usahanya membersihkan laut daripada bahan buangan plastik. Sekadar yang menjadi persoalan adalah kurangnya tumpuan dan laporan media kepada usaha yang bersifat praktikal dan realistik bagi menyelesaikan masalah alam sekitar yang dijalankan oleh Slat berbanding lensa media yang tertumpu kepada kepetahan dan retorik Thunberg. Dari segi “nilai berita,” nyata sekali Thunberg mengatasi Slat.

7. Perkara yang jelas ialah berita mengenai Slat kurang nilai sensasi berbanding berita mengenai Thunberg. Slat mengusahakan sesuatu yang berkemungkinan besar akan menyelesaikan satu masalah yang membingungkan banyak pihak iaitu bagaimana hendak membersihkan sisa buangan plastik dari lautan di dunia. NGO yang dipimpin oleh Slat membangunkan inovasi dalam bentuk teknologi yang memberikan solusi realistik kepada dunia. Tiada perkara kontroversi yang menarik perhatian media dengan perkembangan ini sekalipun ia sebenarnya membawa satu revolusi dalam kejuruteraan alam sekitar. Hal ini kerana media lebih berminat dengan sensasi retorik berbanding solusi realistik. Sensasi retorik mampu meningkatkan jumlah pembaca, penonton dan pengikut yang lebih suka membaca tentang masalah berbanding penyelesaian masalah. Berita mengenai kerosakan lampu isyarat yang menyebabkan kesesakan jalan raya (baca: masalah) lebih menarik perhatian (baca: lebih tinggi nilai berita) berbanding berita tentang orang yang berjaya membetulkan kembali lampu isyarat yang rosak (baca: penyelesai masalah).

8. Sepatutnya kita tidak mengabaikan berita-berita kejayaan dalam perkembangan sains dan inovasi teknologi yang mampu menyelesaikan masalah-masalah dunia secara praktikal. Tidak dinafikan kita memerlukan pihak yang mampu “menggerakkan” masyarakat dengan suara lantang mereka seperti Thunberg. Bagaimanapun, sekadar suara yang bersemangat untuk melakukan perubahan tanpa mempunyai penyelesaian yang praktikal adalah tidak memadai dan tidak akan membawa sebarang makna. Kita perlukan lebih ramai orang seperti Slat yang bukan sahaja melihat dan mengenal pasti masalah tetapi juga mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah tersebut. Seharusnya orang seperti Slat yang perlu diketengahkan dengan lebih agresif oleh media.

9. Walaupun dua nama yang disebutkan dalam penulisan ini ialah orang bukan Islam, namun ada dua pengajaran utama buat umat Islam. Pengajaran pertama adalah perlunya kepada pihak yang mampu memberikan penyelesaian kepada masalah yang timbul secara praktikal dan realistik, dan bukan sekadar menjadi pihak yang hanya mampu menyatakan dan mengenal pasti masalah. Mengambil iktibar daripada bidang penyelidikan, setiap pernyataan masalah perlu diikuti dengan metodologi dan langkah untuk mencari penyelesaian kepada masalah tersebut. Pengajaran kedua adalah keperluan kepada kita untuk mengikuti perkembangan dalam dunia sains dan teknologi. Hal ini bukan sahaja merujuk kepada kesan negatif atau masalah yang timbul dek kerakusan penyalahgunaan ilmu sains atau penggunaan teknologi secara tidak bertanggungjawab. Sebaliknya perkara-perkara bermanfaat dan positif yang dibawa oleh arus kemajuan sains dan teknologi juga perlu kita berikan perhatian dan tidak dikesampingkan.

Rujukan

Cohen, I. and Heberle, J. (2019, 19 Mac). Youth demand climate action in global school strike. Diakses daripada laman web Harvard Political Review: http://harvardpolitics.com/…/youth-demand-climate-action-i…/. Diakses pada 6 Oktober 2019.

Davidson, J. (2019, 3 Oktober). Ocean cleaning device succeeds in removing plastic for the first time. Diakses daripada laman web EcoWatch: https://www.ecowatch.com/ocean-cleaning-device-plastic-2640…. Diakses pada 6 Oktober 2019.

Hartley-Parkinson, R. (2019, 4 Oktober). Greta Thunberg is favourite to win 2019 Nobel Peace Prize. Diakses daripada laman web Metro: https://metro.co.uk/…/greta-thunberg-favourite-win-2019-no…/. Diakses pada 6 Oktober 2019.

Read, B. (2019, 23 September). Greta Thunberg just gave her best speech of her life. Diakses daripada laman web The Cut: https://www.thecut.com/…/un-climate-summit-greta-thunberg-g…. Diakses pada 6 Oktober 2019.

Winter, C. (2014, 17 September). This Dutch wunderkind now has the funds to build his ocean cleanup machine. Diakses daripada laman web Bloomberg: https://www.bloomberg.com/…/boyan-slat-raises-2-million-for…. Diakses pada 6 Oktober 2019.

Sumber: https://www.facebook.com/DrSMSaifuddeen/photos/a.2030575903702487/2551508714942534/?type=3&theater

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo