NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Polis Melaka: Tiada masalah Zakir Naik salat berjemaah di Masjid Cina, bukan berceramah



PETALING JAYA: Polis Melaka tidak mempunyai sebarang masalah dengan kehadiran Dr Zakir Naik dalam program salat berjemaah dan ibadah sunat anjuran Exco kerajaan, Mohd Rafiq Naizamohideen, di sebuah masjid di negeri itu hujung minggu ini.

Ketua Polis Melaka, Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, beliau sudah dimaklumkan oleh Rafiq bahawa kehadiran Naik ke masjid berkenaan bukannya untuk memberi ceramah atau mengingkari arahan dikeluarkan polis sebelum ini.

"Majlis ini adalah majlis salat sunat hajat oleh Rafiq yang menjemput Naik untuk bersama-sama ke Masjid Cina Krubong. Saya dimaklumkan oleh beliau, tiada ceramah yang akan disampaikan oleh Naik. Jadi tidak ada masalah.

"Kalau Naik mahu berikan ceramah, dia kena dapatkan permohonan daripada pejabat mufti Melaka. Saya percaya pejabat mufti tidak akan luluskan kerana sudah ada arahan dikeluarkan ketua menteri Melaka," katanya kepada FMT, hari ini.

Mohd Rafiq sebelum ini mempertahankan program salat berjemaah dan ibadah sunat yang akan disertai Naik di sebuah masjid hujung minggu.

Beliau, yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM berkata, program itu dianjurkan atas kapasitinya sebagai pengerusi Masjid Cina Melaka, bukannya sebagai wakil kerajaan.





Katanya, program itu juga tidak dianjurkan atas platform politik dan tidak membabitkan kerajaan negeri.

Terdahulu, Rafiq berkongsi poster program "Malam Islam Bersatu" di laman sosialnya yang memaklumkan kehadiran Naik untuk salat berjemaah dan ibadat sunat di Masjid Cina Krubong, di sini, pada 7 Sept.

Raja Shahrom berkata, anggota polis tetap akan ditempatkan pada program berkenaan bagi mengawal perjalanan majlis dan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan berlakunya perkara tidak diingini.

"Saya tidak percaya ada umat Islam yang akan buat kekecohan dalam masjid, tetapi kalau ada sebarang gangguan kami akan buat kerja macam biasa.

"Ini soal beribadah bukan soal berceramah. Kita akan tempatkan pegawai polis untuk keselamatan program, supaya program berjalan lancar," katanya.

Naik disiasat Bukit Aman bulan lalu selepas laporan polis dibuat terhadapnya susulan kenyataannya dalam ceramah di Kelantan yang mendakwa penganut agama Hindu di negara ini lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendran Modi berbanding Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga dilaporkan berkata, orang Cina di Malaysia boleh dianggap sebagai "tetamu lama", berbanding dirinya seorang "tetamu baru".

Naik kemudiannya memohon maaf terhadap salah faham yang timbul berikutan kenyataan itu, tetapi mempertahankan bahawa kenyataannya dipetik luar konteks.

Beliau disoal siasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Pada 19 Ogos, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mengumumkan larangan berceramah ke atas Naik di Melaka bagi menjaga keharmonian rakyat negeri itu.

Keesokannya, polis mengeluarkan larangan menyeluruh ke atas program melibatkan beliau di seluruh negara atas faktor keselamatan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo