NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Artikel 370 meruncingkan Kashmir


PADA 5 Ogos 2019, dunia gempar dengan isu ketegangan di Jammu dan Kashmir. Pembatalan status istimewa Kashmir melalui pemansuhan Artikel 370 daripada Perlembagaan India yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah telah mencetuskan konflik yang meruncing antara warga Kashmir dan kerajaan India.

Beberapa hari yang lalu Perdana Menteri, Tun Dr Mahahir Mohamad bersua muka dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi di Rusia. Perbincangan mereka telah menyentuh persoalan Kashmir. Dr Mahathir masih berpendirian bahawa penyelesaian perlu kembali kepada resolusi PBB. Resolusi itu iaitu Kashmir adalah wilayah yang dipertikai dan India tidak boleh bertindak secara unilateral untuk merampas Kashmir.

Kini Jammu dan Kashmir dikepung akibat pemansuhan peruntukan 370 itu. Peruntukan itu memberi status istimewa dan mengizinkan Kashmir, kecuali mengenai pertahanan dan hubungan antarabangsa, mewujudkan undang-undang, perlembagaan, memiliki bendera, serta pentadbiran sendiri.

Status istimewa itu bersifat sementara (sehingga pengumpulan suara warga Kashmir dilaksanakan untuk menentukan sama ada mahu berada dalam India atau Pakistan atau berdaulat sendiri) dan pernyataan itu dimasukkan dalam Perlembagaan pada 17 Oktober 1949.

Status ini bermula sejak berakhirnya penjajahan British di India pada 1947 bila Maharaja Hari Singh yang ketika itu memerintah Jammu dan Kashmir menandatangani perjanjian (Treaty of Accession) untuk menyerah Jammu dan Kashmir kepada India. Artikel 35a yang ditambah di bawah Artikel 370 pada 1954 memberi hak untuk memutuskan siapa yang layak menjadi penduduk tetap di Jammu dan Kashmir. Ia juga memberi hak istimewa kepada penduduk tetap untuk mendapat jawatan dalam kerajaan, membeli hartanah dan pembiayaan pendidikan dan lain-lain.

Penduduk tetap ditakrif sebagai 'mereka yang lahir di dalam negeri sebelum 1911 atau selepas memiliki harta tidak alih dan menjadi penduduk di negeri itu tidak kurang daripada 10 tahun'. Undang-undang itu melarang penduduk bukan tetap menduduki negeri, membeli tanah dan mendapat pekerjaan dalam kerajaan atau biasiswa.

Pemansuhan
Alasan Perdana Menteri, Narendra Modi daripada parti Bharatiya Janaa Party (BJP) yang membatalkan Artikel 370 adalah untuk mengintegrasikan Kashmir ke dalam India.

Kempen Modi dalam Pilihan Raya Mei yang lalu memang menjanjikan pemansuhan Artikel 370 seperti tertera dalam manifesto BJP.Jelas, pemansuhan artikel itu dibantah keras oleh pembangkang di Parlimen India yang mengecam langkah itu sebagai 'tidak demokratik'.

Sebaik Artikel 370 dimansuhkan, India telah menempatkan puluhan ribu tentera tambahan di Kashmir yang dikatakan untuk mengawal kebangkitan warga Kashmir yang menentang tindakan India itu. Pihak berkuasa India menyekat sebarang penentangan dengan mengharamkan apa-apa tindak balas daripada gerakan sivil, menutup sekolah dan universti.

Dua bekas Ketua Menteri Jammu dan Kashmir - Omar Abdullah dan Mehbooba Mufti ditahan yang mengkritik India melalui Twitter.

Tindakan India dianggap para pengkritik sebagai authoritarianisme. Kerajaan Pakistan juga turut mengecam keras tindakan India dan menganggap ia tindakan haram di sisi undang-undang. Pakistan adalah sebahagian daripada pihak yang terlibat dalam pertikaian Kashmir dan berpendirian akan bertindak ke atas India.

Konflik India dan Pakistan mengenai Kashmir bermula sejak 1947 bila kedua-dua negara itu merdeka daripada British. Kashmir telah terbelah kepada India yang majoriti Hindu dan Pakistan yang majoriti Muslim. Ia telah mengakibatkan masalah ribuan pelarian Kashmir cuba melepaskan diri dari India menuju ke Pakistan. Keganasan tercetus dan ratusan ribu terbunuh.

Kini keadaan Jammu dan Kashmir menjadi runcing di bawah kepungan India kerana warganya terpaksa hidup dalam keadaan sangat sukar, termasuk mereka dilarang keluar rumah sebab dikenakan perintah berkurung 24 jam yang sudah berlarutan lebih daripada satu bulan. Agensi antarabangsa seperti PBB, OIC, Amnesty International telah menyuarakan kecaman dan mendesak India kembali merujuk kepada resolusi Majlis Keselamatan PBB.

Walaupun Malaysia mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan India, namun suara Malaysia perlu diketengahkan. Ketidakadilan dan pelanggaran hak manusia dan undang-undang antarabangsa oleh India perlu disuarakan agar kestabilan serantau dapat terjamin.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo