NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penduduk PPR berhak hidup bebas daripada masalah lif rosak


oleh: Fakhrurrazi Rashid

Kerosakan lif di blok C Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi pada 28 Julai 2019 menyebabkan 4 daripada 8 mangsa cedera parah apabila lif tersebut menjunam dari tingkat 5 hingga ke aras bawah. Insiden ini berlaku jam 2.30 petang selepas penduduk selesai menunaikan solat Jumaat untuk balik ke rumah masing-masing. Mangsa juga terdiri daripada wanita, warga emas dan kanak-kanak.

Insiden ini mengingatkan penulis kepada kejadian lif rosak di blok D PPR Kerinchi pada Mei 2017. Lif yang dinaiki 8 penduduk PPR itu terjatuh ke aras bawah dari tingkat 3. Lebih menyentuh perasaan apabila kebanyakan mangsa yang terperangkap dalam lif ketika itu baru pulang membeli juadah untuk berbuka puasa. Makanan tersebut bertaburan di lantai lif ketika kejadian.

Kes seperti ini menyebabkan penduduk rasa tidak selamat untuk menggunakan lif di PPR.

Lif merupakan kemudahan yang menjadi nadi kelancaran aktiviti kehidupan penduduk PPR. Kerosakan lif PPR akan memberi impak besar kepada keselamatan rakyat dan menambah bebanan penduduk, khususnya wanita, warga emas dan kanak-kanak.

Bayangkan sahaja kepayahan seorang ibu mengandung dan warga emas yang terpaksa turun-naik tangga PPR kerana lif rosak. Gambaran seperti ini tentunya lebih perit untuk penduduk PPR sendiri.

Mangsa yang cedera parah akibat kerosakan lif juga tidak dapat bekerja dan menyebabkan sumber pendapatan mereka terjejas. Bebanan ini amat dirasai mangsa yang mempunyai tanggungan ahli keluarga yang ramai.

Sudah berjuta-juta ringgit dibelanjakan bagi mengatasi masalah lif rosak, tetapi masalah yang sama berulang setiap tahun. Adakah peruntukan sebesar ini tidak cukup untuk menambah baik sistem lif di PPR?

Lif rosak boleh mendorong beberapa masalah lain di PPR seperti sikap membuang sampah dari tingkat atas atau meninggalkan sisa sampah dan barang terbuang di tepi tangga PPR.

Masalah ini mencipta keadaan yang tidak kondusif dan menggugat keselamatan penduduk. Kajian Unicef 2017 yang mengkaji keadaan kanak-kanak di kawasan PPR mendapati 1 daripada 5 penduduk PPR menganggap kawasan PPR tidak bersih dan 3 daripada 4 responden berpandangan kawasan PPR tidak selamat untuk kanak-kanak.

Oleh itu, usaha menaik taraf perkhidmatan lif PPR merupakan satu permulaan yang baik bagi meringankan beban dan mengubah kualiti hidup penduduk PPR yang sudah lama "terperangkap" dalam kemelut kualiti hidup di PPR.

Bagi mengatasi masalah ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu melaksanakan satu usaha untuk menambah baik perkhidmatan lif di PPR. Satu kajian perlu dilakukan untuk menggantikan lif yang lama dan rosak di PPR dengan kos penambahbaikan yang lebih praktikal dan berpatutan.

Usaha yang sama dibuat kerajaan Singapura dengan memperkenalkan Lift Enchantment Program (LEP) dalam usaha memodenkan lif sekitar perumahan awam di Singapura yang melibatkan 20,000 lif. Kos bagi program ini berjumlah S$450 juta (RM1.3 bilion) yang ditanggung bersama kerajaan tempatan bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

Pihak berkuasa perlu mempertimbangkan cadangan membina lif khas untuk mengangkut barang-barang berat. Perlu diasingkan lif penumpang dan lif barang untuk mengurangkan masalah lif rosak akibat mengangkut barang berat di dalam lif penumpang yang melebihi kapasiti yang ditetapkan.

Segala kemajuan penyelenggaraan lif PPR perlu dimaklumkan kepada penduduk dengan meletakkan setiap butiran dari segi jadual penyelenggaraan dan kontraktor terlibat di papan notis PPR untuk dimaklumkan kepada penduduk.

Pihak berwajib pula harus meningkatkan kecekapan perkidmatan, tidak mengambil sikap "menunggu" dan hanya mengambil tindakan sekiranya berlaku kerosakan lif PPR. Pendekatan penyelenggaran lif perlu diubah berdasarkan keperluan semasa. Jangan sampai ada yang sudah terkorban, baru nak bertindak.

Penduduk juga mempunyai peranan untuk memastikan tiada sebarang salah guna dan vandalisme di dalam lif. Bagi persediaan awal, pihak berkuasa boleh melatih persatuan penduduk tentang aspek asas dalam pengurusan lif. Ia secara tidak langsung memperkasakan fungsi pemimpin komuniti yang dilihat "mandom" dalam menguruskan isu-isu penduduk PPR.

Menaik taraf lif merupakan satu permulaan yang boleh memberi kesan positif kepada mereka dan dapat menangkis dakwaan majoriti orang awam tentang imej buruk kehidupan PPR selama ini.

Penduduk PPR berhak mendapat kehidupan yang bebas daripada masalah. Ia seperti falsafah kehidupan yang dipopularkan filem The Lion King, "Hakuna Matata" yang bermaksud kehidupan yang bebas daripada kekuathiran dan masalah. Mungkin penduduk PPR tidak merasai kehidupan bebas daripada masalah sekarang, tetapi ia boleh berlaku untuk penduduk PPR akan masa hadapan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo