NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ulasan Buku | Tafsir Ar-Rawi (Ibnu Ar-Rawi, 1950)


šŸ“š ULASAN BUKUšŸ“š
šŸ“– Siri 0⃣2⃣

oleh: Mohd Fadli bin Ghani
Institut al-Balaghul Mubin
10 Zulkaedah 1440H/ 13 Julai 2019

TAFSIR AR-RAWI (IBNU AR-RAWI, 1950)

BIDANG tafsir merupakan salah satu cabang ilmu Islam yang penting, terutama dalam menghuraikan makna ayat-ayat al-Quran. Pada era kontemporari ini, telah muncul kitab-kitab tafsir yang terkenal seperti Tafsir fi Zilal al-Quran oleh Syed Qutb, Tafsir al-Munir oleh Dr Wahbah az-Zuhaili, Tafsir Sya'rawi oleh Sheikh Mutawali as-Sya'rawi dan lain-lain. Di Alam Melayu, selepas zaman Tafsir al-Baidhawi dan Tafsir Nurul Insan, Tafsir al-Azhar karya Prof Hamka adalah yang paling terkenal. Di celah-celah penulisan tafsir ini, muncul Tafsir ar-Rawi sebagai sebuah tafsir yang sederhana untuk tatapan masyarakat awam dalam mengenali al-Quran. Tafsir ini ditulis oleh Ibnu ar-Rawi, seorang pemuda Islam yang telah lama berkampung di Mekah kerana mendalami ilmu Islam. Beliau mengambil pendekatan yang agak menarik, dengan mendahulukan _Juz 'Amma_, iaitu surah-surah yang menjadi amalan bacaan dan hafazan orang Melayu, yang lebih selesa menyebutnya sebagai "Surah Muqaddam" kerana terlebih dahulu dipelajari, sebelum surah-surah lain.

Ibnu ar-Rawi (m. 2000) adalah seorang penulis buku-buku Islam yang agak terkenal pada dekad 1950-an. Nama sebenar beliau ialah Yusof bin Abdullah bin Nordin ar-Rawi, tetapi lebih terkenal dengan panggilan Pak Yusof Rawa. Beliau adalah seorang tokoh politik dan gerakan Islam terkemuka di negara ini. Beliau berketurunan Rawa dan lahir di Lebuh Achen, Pulau Pinang dalam tahun 1923. Selepas mendapat pendidikan Inggeris di Penang Free School, beliau dihantar belajar di Mekah dan berjaya lulus ijazah Diploma Takhasus ad-Diini dari Maahad al-Falah, Mekah. Selain terlibat dalam perniagaan, beliau aktif dalam PAS dan pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS dan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS. Jawatan tertinggi yang pernah dipegang dalam PAS ialah Yang Dipertua Agung PAS (1983-1989) dan Mursyidul Am PAS (1987-1994). Beliau juga pernah menjadi Timbalan Menteri Perusahaan Utama dan Duta Malaysia di Tehran.

Kitab "Tafsir ar-Rawi" terbitan Maktabah al-Haj Abdullah bin Mohd Nordin ar-Rawi, Pulau Pinang, 1950 (cetakan keenam, 1975) adalah sebuah karya tafsir al-Quran dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi yang dicetak dalam dua jilid. Jilid 2, dicetak pada 1951, dengan cetakan terkini pada 1983 oleh penerbit yang sama, dan dicetak oleh _The United Press_, Pulau Pinang. Tafsir ini sebenarnya hanya melibatkan _Juz 'Amma_ sahaja. Penulis telah mengambil pendekatan dengan memulakan tafsir Surah al-Fatihah, kemudian membicarakan _Juz 'Amma_ bermula dari Surah an-Nas. Daripada keseluruhan 34 surah dalam _Juz 'Amma_, Jilid 1 meliputi Surah an-Nas hingga Surah ad-Dhuha, manakala Jilid 2 mencakupi dari Surah al-Lail hingga Surah an-Naba'. Tafsir ini mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia disyarahkan dengan lebih lengkap berbanding _Tafsir al-Baidhawi_ yang bersifat terjemahan, di mana penulis memberikan huraian ringkas pada setiap ayat, berserta dengan kelebihan dan fadhilat setiap surah tersebut. Oleh sebab ringkas dan mudah difahami, tafsir ini sangat sesuai untuk mereka yang baru mendalami ilmu al-Quran, terutama para remaja.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo