NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Polis Siasat Kenyataan Wang GST ‘Dirompak’



HULU LANGAT – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada tahun lalu kononnya bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion ‘dirompak’ semasa kerajaan terdahulu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan sedang meninjau untuk tindakan lanjut.

“Saya difahamkan saranan yang dibuat (Khairy) akan diambil tindakan. Kita masih dalam proses meneliti untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 231 pegawai dan anggota di Batalion 4, Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA), Semenyih, dekat sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Jaafar dan Komander Briged Tengah PGA, Muhammad Abdul Halim.

Ketika diminta mengulas adakah Guan Eng akan dipanggil untuk proses siasatan, Abdul Hamid memaklumkan perkara itu belum diputuskan.

“Kita masih belum putuskan untuk panggil. Biar siasatan dijalankan dahulu,” ujarnya.

Isu tunggakan bayaran balik GST menimbulkan kontroversi apabila Guan Eng ketika sesi sidang Dewan Rakyat tahun lalu mendakwa wang tersebut ‘dirompak’ semasa kerajaan terdahulu sehingga perkara itu dibawa ke peringkat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Semalam, PAC mengesahkan kutipan GST tersebut tidak hilang seperti yang didakwa.

Sementara itu, Abdul Hamid memaklumkan siasatan terhadap Exco kerajaan negeri Perak yang didakwa merogol pembantu rumahnya kini telah sampai ke peringkat akhir.

“Tindakan kemas kini kertas siasatan sudah sampai peringkat akhir sebelum dihantar kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan pendakwaan.

“Kita akan menunggu arahan selanjutnya dan tiada kelewatan dari pihak polis untuk menyelesaikan kes tersebut,” ujarnya.

Sumber: https://www.mynewshub.tv/utama-sensasi/polis-siasat-kenyataan-wang-gst-dirompak/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo