NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bangsa Melayu didiskriminasi?



oleh: Hazwan Mohamad

BERIKUT adalah fakta dari sudut pencapaian ekonomi, orang Melayu masih jauh ketinggalan berbanding kaum Cina yang saya ekstrak dari buku tulisan Dr. Muhammed Abdul Khalid, Penasihat Ekonomi Perdana Menteri Malaysia yang ke-7, "The Colour of Inequality – Ethnicity, Income & Wealth in Malaysia" dan beberapa kajian status ekonomi dari kertas kajian lain.

1. Orang Melayu/Bumiputera 3.31 lebih miskin daripada orang Cina Malaysia dengan purata kekayaan hanya RM163,000.

2. Perbandingan purata kekayaan orang Melayu/Bumiputera berstatus majikan hanyalah RM267,000, jika dibandingkan dengan orang Cina, RM440,000.

3. Pemegang ijazah berbangsa Melayu hanya mempunyai purata kekayaan bernilai RM344,000 berbanding orang Cina, RM635,000.

4. Peluang seorang Graduan Melayu untuk dipanggil ke sesi temuduga adalah 5.3 kali lebih rendah berbanding graduan Cina.

5. Pekerja Melayu mendapat 20 hingga 40 peratus gaji lebih rendah berbanding pekerja Cina walaupun mempunyai tahap pendidikan yang sama.

6. Malah Dr. Abdul Khalid menyebut bahawa wujud diskriminasi di sektor swasta terhadap orang Melayu, seperti melambatkan kenaikan pangkat dan menafikan akses kepada latihan membuktikan 'favouritism' orang Cina terhadap bukan Cina..

7. Dalam kajian lain oleh Economic Planning Unit – CMI Commissioned Report on Growth with Distribution, menyatakan bahawa pendapatan orang Melayu adalah 32 peratus lebih rendah daripada pendapatan kaum Cina, dan ini disebabkan dasar-dasar diskriminasi dalam intra bidang meliputi pendidikan, pengalaman, industri dan pekerjaan.

8. Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia menyatakan bahawa terdapat kakitangan Melayu yang berkelulusan dan berinovasi tinggi, namun mereka tetap tidak mendapat peluang yang sama rata seperti dimiliki pekerja kaum Cina.

9. Dr. Rais Sariman, salah seorang arkitek Dasar Ekonomi Baharu dalam kertas kerjanya, juga menyatakan bahawa kajian Bank Dunia menunjukkan bahawa sektor swasta di negara Malaysia mengamalkan diskriminasi terhadap pekerja Melayu.

10. Datuk Akbar Ali, bekas Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia turut menyatakan bahawa kondisi ekonomi Melayu dalam keadaan tenat, selagi mana sektor swasta yang meliputi 85 peratus sektor pekerjaan di Malaysia masih lagi mengamalkan diskriminasi terhadap bangsa.

Ini adalah jawapan kepada kenyataan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa orang Melayu malas bekerja lantas dibelenggu kemiskinan.

Bukan kerana orang Melayu malas apatah lagi tidak kompeten! Tetapi, orang Melayu sudah lama di diskriminasi melalui sektor swasta, yang menyumbang margin paling besar iaitu 85 peratus daripada pekerjaan secara keseluruhan di Malaysia.

Benarlah kata arkitek Dasar Ekonomi Baharu Dr Rais Sariman, bahawa orang Melayu dilayan tidak ubah seperti bangsa kelas ketiga ditanah air mereka sendiri.

Justeru, Professional Muslim Community (PMC), menyeru dan menggesa, sudah tiba masanya, untuk kerajaan secara tegas menggubal sebuah undang-undang anti-diskriminasi bagi sektor pekerjaan di Malaysia, khususnya dalam sektor swasta yang menyumbang pecahan peratusan paling besar.

PMC juga menuntut agar kata-kata YB Menteri Kewangan Lim Guang Eng dalam pembentangan Belanjawan 2019 para perenggan ke 84 yang berjanji kerajaan akan mengkaji semula undang-undang buruh, yang antara lainnya mahu menghapus amalan diskriminasi oleh majikan dapat ditepati dan dilaksana secepat mungkin.

Bukan sahaja kerajaan mesti memastikan tiada diskriminasi dari sudut perkauman, malah kerajaan perlu memastikan tiada diskriminasi terhadap pekerja yang beragama Islam. Pelbagai laporan yang diterima seperti larangan bertudung ditempat kerja dan tidak membenarkan menunaikan solat perlu dipandang serius.

Sekian.

Hazwan Mohamad ialah Presiden, Professional Muslim Community (PMC), Timb. Pengerusi UMMAH Wilayah Persekutuan.



Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/07/26/bangsa-melayu-didiskriminasi/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo