NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Adab Menyambut Aidilfitri


oleh: Ustaz Nik Muhammad Nasri

Ketika Nabi SAW tiba di Madinah, penduduknya meraikan satu perayaan. Nabi SAW bertanya tentang perayaan itu dan diberitahu ia adalah perayaan yang diwarisi dari nenek moyang. Nabi SAW menyebut bahawa Allah telah menukarkan perayaan itu dengan 2 perayaan lain iaitu Eid al-Fitr dan Eid al-Adha.

Dengan itu kita fahami bahawa perayaan Eid al-Fitr dan Eid al-Adha ini bukan rekaan Nabi sendiri dan bukan rekaan sesiapa, melainkan ia diberi oleh Allah kepada Muhammad SAW dan umatnya. Justeru, cara sambutannya mestilah berdasarkan petunjuk Quran dan hadis, bukannya yang diada-adakan oleh media terutama TV dan para artis.

Sebulan Ramadhan kita diajar untuk taatkan Allah. Adakah tiba-tiba pada 1 Shawal terus sahaja derhakakan Allah kononnnya di atas nama kegembiraan dan keluasan Islam pada hari raya?

Benar. Ada hadis yang menyebut tentang jariah (hamba perempuan kecil atau anak perempuan kecil) yang mengalunkan suaranya pada hari raya. Imam Nawawi meletakkan hadis itu di bawah tajuk: Bab arrukhsah fi alla’b allazi la ma’siata fih fi ayyam al-eid(keringanan dalam permainan yg tiada maksiat di hari perayaan) (j6 ms 423). Ada huraian ulama tentang hadis ini.

Kesimpulan ringkas yang boleh dibuat ialah bentuk, cara permainan mereka, apa yang disebut jauh bezanya dari apa yang disangka oleh kita dan realiti yang berlaku dalam media kita sekarang yang dipenuhi program-program dosa di atas nama menyambut Eid al-Fitr. Tajuk yang diberi oleh Imam an-Nawawi pun sudah kita fahami bahawa yang dibenarkan ialah yang tiada maksiat. Bebaskah program tv kita dari unsur itu?

Ada beberapa sunnah yang boleh dibuat sempena menyambut Eid al-Fitr itu:

1. Menghidupkan malam hari raya dengan perkara taat. Nabi SAW bersabda, bermaksud: ‘Sesiapa yang menghidupkan malam hari raya Fitr (iaitu dengan takbir) dan malam hari raya adha, hatinya tidak mati pada hari matinya segala hati.’

2. Sunat mandi pada pagi hari raya kepada semua orang, tak kira lelaki perempuan, uzur atau tidak, pergi solat hari raya atau tidak.

3. memakai minyak wangi (lelaki), bersugi.

4. Memakai pakaian paling baik dan cantik.

5. Makan sedikit pada pagi Eid al-Fitr sebelum keluar solat untuk membezakan di antara 1 Syawal dan akhir Ramadhan.

6. menuju ke tempat solat dengan tenang, pada awal pagi, melalui satu jalan dan pulang melalui jalan lain.

7. Mengucapkan tahniah sempena Eid ‘Taqabballlahu minna wa minka‘ (Moga Allah menerima amalan kami dan kamu)

8. Solat Eid.

Tentang ziarah kubur di pagi raya, ulama berselisih pendapat. Ada yang mengatakan harus dan ada yang mengatakan makruh. Untuk keluar dari khilaf ulama, apa salahnya menziarahi kubur sebelum 1 Shawal. Yang penting adab terutamanya aurat wanita dijaga.

Begitu juga adab bertamu dan menerima tetamu mesti dijaga. Jangan menganggap semuanya ‘sedara’-mak sedara, pak sedara, awek sedara-lalu disambut semua tangan yang dihulur.

Moga Eid al-Fitr yang disambut menjadi ibadah bagi seorang mukmin yang diajar untuk taatkan Tuhannya sepanjang Ramadhan, bukannya menjadi medan awal untuk kembali berdosa dengan Tuhannya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo