NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tolak Kemasukan Budaya Luar, Promosikan Industri Kreatif Negara



TOLAK KEMASUKAN BUDAYA LUAR, PROMOSIKAN INDUSTRI KREATIF NEGARA
oleh: TUAN CHE ALIAS BIN HAMID

1. Saya menolak sekeras-kerasnya kemasukan budaya luar terutamanya industri hiburan K-pop terkenal iaitu Bangtan Boys (BTS) di Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020). Adalah sesuatu yang menguntungkan negara sekiranya pihak Kerajaan terus-menerus mempromosikan industri seni dan budaya negara kita yang mempunyai keunikan berbilang kaum sempena TMM2020 berbanding membawa masuk budaya luar.

2. Persoalannya, mengapa kita perlu mengangkat budaya muzik dari negara luar berbanding industri seni dan budaya tempatan tanah air kita sendiri sempena TMM2020? Apakah Kerajaan tidak berhasrat untuk mempertingkatkan promosi industri kreatif negara yang unik dan pelbagai di persada dunia bagi menarik pelancong ke negara kita?

3. Pengaruh Kpop secara tidak langsung menerapkan budaya hedonisme yang merupakan agen penghakis amalan tradisi negara kita dan menjerumus generasi muda ke arah norma-norma kehidupan yang bertentangan dengan agama dan budaya. Malah hiburan yang melampau ini juga turut menyebabkan masalah sosial dan keruntuhan akhlak generasi muda semakin teruk.

4. Kerajaan hari ini seharusnya memikirkan strategi dan perancangan yang berkesan bagi mempromosikan kehebatan dan keunikan negara kita sama ada dalam aspek kebudayaan, kesenian dan sebagainya bagi meningkatkan keberangsangan sektor pelancongan ke negara kita bukannya dengan membawa masuk budaya luar ke negara kita.

5. Besar harapan saya sekiranya Kerajaan terus memastikan budaya dan seni warisan masyarakat tempatan yang berbilang kaum terus dipelihara dan dikembangkan lagi dengan pelbagai pengiktirafan dan anugerah sehingga di peringkat tertinggi seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan dipromosikan di persada dunia.

“Islam Memimpin”

TUAN CHE ALIAS BIN HAMID ialah Ahli Parlimen Kemaman

#IslamMemimpin
#SejahteraBersamaIslam

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo