NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Haram ajar agama lain kepada anak-anak


MENGAJAR agama selain ajaran Islam yang sebenar kepada pelajar sekolah adalah haram sama sekali, kata Ustaz Ismail Mina Ahmad.

Timbalan Presiden Institut Pemikiran Islam (IPTI) berkata pada seawal usia kanak-kanak, kelompok ini patut diajar asas agama Islam dan tidak perlu untuk mengelirukan mereka dengan ajaran agama lain.

“Hendak mengajar agama bukan Islam adalah haram mengikut kaedah Ahlus Sunnah Wal Jamaah, budak tidak tahu apa kenapa nak ajar benda (agama lain) macam ini.

“Saya bukan mufti tetapi apa yang saya sampaikan ini adalah kebenaran.

“Adalah menjadi kewajipan syarie mengikut agama Islam mengajar dan mendedahkan kanak-kanak berkenaan dengan keTuhanan Allah SWT, Nabi Muhammad SAW, Rukun Islam, Rukun Iman dengan sempurna.

“Supaya mereka ini belajar bukan sahaja bagi ilmu tetapi juga mentarbiahkan budak-budak sekolah rendah, supaya mereka kukuh dengan Rukun Islam, Rukun Iman dan adab Islam..ini wajib.,” katanya ketika dihubungi NTHQiBord, hari ini.

Tambah beliau lagi, tidak masuk akal untuk menjadikan alasan pembelajaran agama lain di sekolah untuk memupuk sikap toleransi dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Ismail berkata banyak lagi cara yang boleh dilakukan dalam memperkukuhkan perpaduan antaranya menetapkan sekolah satu aliran sahaja.

“Untuk kukuhkan keharmonian, hanya melalui satu cara, standardkan sistem pendidikan kembali kepada pendidikan kebangsaan dalam Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Hapuskan pendidikan yang bercanggah dengan falsafah pendidikan negara. Hendak wujudkan perpaduan, maka sekolah bukan Melayu tidak perlu wujud.

“Tidak boleh ada aliran jenis kebangsaan bukan aliran lain…satu aliran sahaja. Ini adalah perpaduan,“ tegasnya.

Sementara itu, Pengerusi Assabiqun Subky Latif berkata pihak yang memberikan cadangan agar mewujudkan satu silibus baharu mengajar agama lain selain Islam sengaja mahu membangkitkan kemarahan orang Melayu.

“Saya rasa benda ini tidak perlu… kita ajar Islam dulu. Mereka ini sebenarnya (tujuan) sengaja hendak provok kita,” katanya.

Tambah veteran PAS itu, sekiranya mahu memakmurkan lagi negara ini pihak berkenaan perlu memberi cadangan agar menteri yang bertanggungjawab dalam portfolio ini datangnya dalam kalangan orang Melayu.

Perkara ini adalah penting kerana hanya orang Islam sahaja yang akan menjaga sensitiviti agama Islam dan agama lain, dan bukanlah menteri perpaduan sedia ada, katanya.

“Kalau hendak perpaduan bagi kepada orang Islam (yang berpegang teguh) jadi menteri perpaduan.

“Sekarang ini perpaduan orang bukan Islam yang jaga, perpaduan tidak akan wujud kalau bukan Islam yang jaga,” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan dicadangkan untuk memperkenalkan satu matapelajaran khusus di peringkat sekolah dan universiti untuk mengajar mengenali agama lain selain Islam dalam meningkatkan pemahaman dan keharmonian antara penganut.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha berkata idea berkenaan tidak bermaksud negara bakal mengamalkan kesamarataan agama, namun lebih kepada memupuk perpaduan dan memahami sensitiviti agama lain. – NTHQiBord, 20 Mei 2019.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo