NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Noraini Pengerusi PAC baharu


KUALA LUMPUR 4 April – Ahli Parlimen Parit Sulong daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Noraini Ahmad sah akan menggantikan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang negara (PAC) Parlimen dalam sesi Dewan Rakyat kali ini.

Penggantian Ronald akan dibuat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu usul ke sidang Dewan Rakyat yang kini berada di tempat ke sembilan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUN) Dewan Rakyat hari ini.

Isu Pengerusi PAC Parlimen menjadi hangat apabila Ronald yang sebelum ini ahli UMNO Sabah bertindak keluar daripada parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama enam lagi wakil rakyat UMNO Sabah tahun lalu.

Ronald yang mempertahankan kerusi Parlimen Beluran sejak lima penggal atas tiket UMNO, dipilih sebagai Pengerusi PAC Parlimen buat pertama kali daripada blok pembangkang berikutan janji manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menetapkan Pengerusi PAC Parlimen mesti dipilih dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang.

Bagaimanapun, Dr Mahathir enggan serta-merta menggantikan Dr Ronald dan berkeras bahawa janji manifesto PH sudah dipenuhi kerana Ahli Parlimen Beluran itu sebelum ini, adalah daripada kalangan Ahli Parlimen pembangkang.

Tindakan Dr. Mahathir itu menerima kritikan keras daripada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang hingga menyaksikan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bertindak meletakkan jawatan selain tiga Ahli Parlimen pembangkang iaitu Noraini, Datuk Ahmad Hamzah dan Datuk Takiyuddin Hassan juga bertindak meletakkan jawatan daripada PAC Parlimen.

PAC Parlimen adalah satu daripada lima Jawatankuasa Tetap Dewan yang berkuasa untuk menyiasat segala kewangan kerajaan sama ada membabitkan kementerian, jabatan serta kerajaan selain syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat milik kerajaan (GOC).

Selain itu, PAC Parlimen juga memiliki kuasa untuk menyiasat sebarang perkara yang difikirkan perlu oleh jawatankuasa atas kepentingan rakyat dan negara. Antara kes yang disiasat PAC Parlimen adalah 1MDB, KLIA2 serta tunggakan tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion. - UTUSAN ONLINE

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/parlimen/noraini-pengerusi-pac-baharu-1.876163#ixzz5kC1jM2Ue

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo