NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kes Presiden PAS, editor Sarawak Report selesai luar mahkamah




BANGI, 27 Jamadilawal 1440H, Sabtu – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan untuk menyelesaikan kes saman terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di luar Mahkamah Tinggi London.

Setiausaha Politiknya, Syahir Sulaiman berkata, keputusan itu dibuat Abdul Hadi setelah meneliti keseluruhan tindakan mahkamah yang telah difailkan terhadap Clare Rewcastle Brown dari semua aspek, dan juga setelah mempertimbangkan pandangan serta nasihat peguam.

"Adalah dimaklumkan bahawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat ketetapan untuk memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah, melalui Perintah Persetujuan bertarikh 1 Februari 2019, di Mahkamah Tinggi London," katanya.

Dalam kenyataan sama, Syahir berkata, penyelesaian luar mahkamah kes itu diputuskan dengan syarat, termasuk Abdul Hadi menarik balik tuntutan terhadap defendan, dan defendan juga menarik balik tuntutan balas terhadap Presiden PAS itu.

Katanya, penyelesaian itu juga membabitkan tiada perintah berkenaan kos dan kedua-dua pihak tertakluk kepada persetujuan kerahsiaan mengenai terma-terma berkaitan penyelesaian itu.

Syahir berkata, Presiden PAS mengucapkan terima kasih dan merakamkan setinggi penghargaan kepada barisan peguam, ahli-ahli PAS dan semua pihak yang telah memberikan sumbangan dan sokongan sepanjang perjalanan kes ini.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 berkaitan laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa Presiden PAS itu menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Susulan itu, Rewcastle Brown memfailkan permohonan untuk membatalkan saman fitnah Abdul Hadi, antara lain atas alasan intimidasi saksi.

Dalam permohonannya, dia mengadu Hadi memutarbelitkan makna kata-katanya untuk tujuan politik tersembunyi parti PAS, bukan untuk mempertahankan reputasi diri.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/02/02/kes-presiden-pas-editor-sarawak-report-selesai-luar-mahkamah/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo