NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu: Pinjaman YT Di Buka Semula


Ustaz Satiful Bahri (kiri) berinteraksi dengan pelajar Madrasah Moden MAIDAM Besut semalam.
BESUT, 9 Januari - Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, Kerajaan Negeri membuka semula peluang mendapat pinjaman Yayasan Terengganu (YT) untuk pelajar yang berhasrat melanjutkan pelajaran terutama ke luar negara termasuk dalam bidang perubatan. 

"Pelajar-pelajar kita yang terhenti mengikuti pengajian perubatan di luar negara, sekarang kita buka balik untuk pinjaman yuran tanpa riba," katanya ketika bercakap kepada tenaga pengajar Madrasah Moden MAIDAM Besut ketika mengadakan lawatan khas ke madrasah tersebut di sini semalam

Turut hadir dalam lawatan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Maliaman Kassim, beberapa Pegawai dan kakitangan dari Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) dan MAIDAM.
Seterusnya Ustaz Satiful Bahri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, kerajaan negeri juga membuka peruntukan khas bagi pelajar-pelajar cemerlang untuk mendapat biasiswa dan sijil 'Association of Charted Certified Accountants' (ACCA) untuk bidang perakaunan termasuk kos yuran dan saraan bagi mereka yang sepenuh masa mengambil kurus tersebut.

Kerajaan negeri juga bakal memasukkan mata pelajaran vokasional dalam pengajian di madrasah-madrasah tahfiz untuk menggalakkan kolaborasi antara pihak swasta, sekolah rakyat dan kerajaan negeri.

"Jika semua pihak bergabung tenaga, kita akan dapat mencapai matlamat untuk memperkasakan dan meningkatkan kecemerlangan dalam bidang pendidikan," jelasnya.

Kerajaan negeri katanya, akan meneruskan program pendidikan yang baik sebelum ini termasuk melahirkan santis Islam dan lain-lain.

"Kita perlu mengarusperdanakan pendidikan Islam atau berintegrasikan pendidikan konvensional tanpa meninggalkan elemen-elemen Islam dengan menjaga keseimbangan dunia dan akhirat," katanya lagi.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo