Oleh: DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
1. Saya merakamkan ucapan terima kasih atas keputusan Kerajaan untuk mengekalkan harga runcit RON95 tidak melebihi paras tertentu seperti yang diumumkan pada beberapa hari lalu.
2. Namun, harga RM2.20 seliter yang ditetapkan itu dilihat hanya sebagai sandiwara Kerajaan yang kononnya mahu melindungi pengguna daripada impak kenaikan harga.
3. Ini kerana, sejak diapungkan secara mingguan bermula Mac 2017 hingga April 2018 sebelum dikekalkan pada harga RM2.20 selepas Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, hanya 16 daripada 52 minggu sahaja RON95 diniagakan antara RM2.20 hingga RM2.30 dan hanya 4 minggu sahaja ia dijual melebihi RM2.30 selari dengan turun naik harga minyak mentah dunia.
4. Baki 32 minggu lagi harga runcit RON95 sememangnya dijual antara RM1.89 hingga RM2.20. Oleh itu, jika Kerajaan menetapkan had maksimum harga runcit petrol ini pada RM2.20, ia tidak lebih baik pun daripada Barisan Nasional (BN); sama sahaja dengan BN semasa menjadi kerajaan.
5. Sekiranya Kerajaan serius dan bersungguh mahu menurunkan kos sara hidup rakyat dan prihatin dengan masalah ekonomi yang melanda rakyat, sewajarnya had maksimum harga runcit RON95 ini direndahkan lagi ke paras RM2.10 berbanding RM2.20.
6. Desakan menetapkan harga siling ini telah saya kemukakan sejak 2015 lagi dan meminta ia dilaksana bersekali dengan pemberian subsidi (rujuk : https://drtakiri.blogspot.com/2015/07/minyak-naik-jangan-sampai-rakyat-naik.html) supaya tidak mengurangkan pendapatan boleh guna dan melemahkan ekonomi rakyat.
7. Saya juga menuntut Kerajaan memberikan penjelasan mengapa sehingga ke hari ini harga runcit RON95 belum diturunkan ke harga RM1.91 seperti yang telah dijanjikan dan mengapa masih belum ada keputusan muktamad mengenai mekanisme penetapan harga petrol selepas mesyuarat yang diadakan semalam? Berapa lama lagi masa yang Kerajaan perlukan untuk turunkan harga bahan api ini dan muktamadkan isu ini? Atau, sebenarnya Kerajaan memang terdesak meneruskan helah ini untuk terus mengaut keuntungan daripada rakyat.
Sekian.
“Islam Memimpin”
No comments
Post a Comment