BANGI, 15 Rabiulakhir 1440H, Ahad – Peruntukan khas berjumlah RM77 juta untuk membantu peneroka Felda melunaskan bayaran tertunggak bagi tahun ini, disifatkan sebagai tidak begitu membantu, kata NGO Generasi.
Presidennya, Ustaz Roslan Md Esa dalam satu kenyataan, hari ini berkata, masih banyak perkara pokok yang membelenggu peneroka tidak langsung diselesaikan pihak Felda dan kerajaan Pakatan Harapan.
"Tidak seperti janji mereka semasa mahu mengumpan undi kepada rakyat khasnya peneroka Felda dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang lalu," katanya.
Minggu lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan bahawa Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad telah mengarahkan bantuan untuk diberikan kepada mereka, susulan masalah aliran tunai Felda yang sangat kritikal pada tahun ini.
Antara bantuan yang diberikan ialah bayaran sara hidup dan pendahuluan hasil tanam semula berjumlah RM32.8 juta untuk 38,000 peneroka.
Bagaimanapun, Ustaz Roslan berkata, bantuan itu tidak berpatutan dengan peneroka kerana jumlah sebenar mereka adalah jauh lebih besar daripada yang diperuntukkan.
"Ingin kami tegaskan di sini, pembelaan pada perkara pokok isu peneroka tidak sangat membantu melalui peruntukan ini, kerana jumlah peneroka adalah 112,635 orang bukan 38,000 orang seperti yang dinyatakan menteri," tegasnya.
Pada masa sama, beliau menegaskan, isu kritikal yang dihadapi peneroka ketika ini adalah harga komoditi sawit yang menurun.
Malah, katanya, bayaran hasil yang lambat sehingga dua hingga ke tiga bulan juga amat menyeksa peneroka lebih-lebih lagi apabila ia berlarutan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
"Bayaran sara hidup yang lambat juga menyebabkan ramai dalam kalangan peneroka terpaksa mengikat perut.
"Apa yang menjadi tanda tanya, penyata hutang yang tak jelas membuatkan ramai peneroka tertanya mengenai jumlah sebenar hutang mereka," katanya.
Serentak itu, pihak Generasi mendesak kerajaan segera menyelesaikan isu pembayaran hasil, meletakkan harga lantai sawit minimum RM400 dan menyelesaikan segera isu penyata hutang yang tidak jelas.
"Ini adalah perkara paling asas yang membelenggu peneroka Felda selama ini.
"Buktikan bahawa janji kerajaan sebelum pilihan raya umum lalu ditunaikan segera demi kebajikan peneroka. Jangan hanya janji dicapati sekali lagi," katanya.
No comments
Post a Comment