NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ICERD: Kayu Ukur Kemajuan & Kemanusiaan?


Oleh: Rijal Hassan

Bagaimana sebuah negara diukur maju? 

Adakah dengan tinggi atau rendahnya Keluaran Dalam Negara Kasar sesebuah negara semata-mata? Atau dengan sejumlah universiti yang berjaya dibangunkan? Atau dengan seberapa banyak jumlah kumpulan terpelajar yang berjaya dihasilkan? Atau mungkin juga dengan jumlah pemegang PhD yang teramai? 

Atau apa? 

Atau mungkin juga sesebuah negara itu maju dengan jumlah pingat Olimpik yang paling banyak dimenangi? Atau mungkinkah juga jumlah badan pemikir yang wujud dalam sesebuah negara itu menentukan kemajuan sesebuah negara? Atau dengan jumlah dana kemanusiaan yang disalurkan ke luar oleh sesebuah negara? Atau juga jumlah perbelanjaan ke atas peralatan perangnya setiap tahun?

Seorang menteri baru-baru ini dengan yakin sekali mengatakan bahawa tanpa ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum atau ICERD, negara kita tidak akan maju. 

Apa benarkah ICERD itu menjadi kayu pengukur kepada maju atau tidak sesebuah negara? 

Untuk memahami sama ada konvensyen antarabangsa seperti ICERD boleh dijadikan kayu ukur kepada kemajuan sesebuah negara atau bangsa, maka kita harus mengukur keberkesanan konvensyen itu sendiri. 

Selama keberadaan ICERD itu yang diperkenalkan pada tahun 1965, apakah graf layanan hak asasi manusia itu berubah menjadi jauh lebih baik daripada sebelumnya, sama saja atau lebih buruk? 

Menurut Eric A Posner, profesor di University of Chicago Law School, Walaupun diskusi tentang hak asasi mendapat tempat, terma ‘human rights’ dalam buku berbahasa Inggeris contohnya, meningkat 200 kali ganda sejak 1940, namun hak asasi manusia semakin memburuk. 

Hakikatnya sekarang ini ‘penyakit’ lama seperti perhambaan juga masih wujud. Beliau melaporkan bahawa terdapat hampir 30 juta orang dipaksa untuk melakukan pekerjaan diluar kehendak mereka, yakni jelas sebuah bentuk perhambaan. 

“Kenapakah wujudnya lebih daripada 150 negara terlibat dengan aktiviti penderaan dan penyeksaan? Kenapakah rejim autokratik semakin bertambah dalam beberapa tahun kebelakangan ini? Kenapakah kaum wanita masih lagi dipandang rendah di kebanyakan negara di dunia? Kenapakah juga kanak-kanak masih dibiarkan bekerja di lombong-lombong bijih timah dan kilang di banyak negara?”

54 Tahun ICERD, Hakikatnya Palestin Masih Dijajah 

Menarik untuk dikongsikan bahawa pada April lepas, The Guardian melaporkan bahawa diplomat Palestin telah menfailkan aduan 350 muka surat antara negeri terhadap Israel kerana melanggar kewajipannya di bawah ICERD. 

Penduduk Palestin seperti kita semua tahu masih tidak bebas bergerak, tanah dan rumah mereka adakalanya dirampas dan dirobohkan. Sistem perundangan juga dikatakan lebih keras ke atas warga Palestin dan Israel dikatakan telah melanggar Artikel 3 ICERD. 

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Palestin: “Palestin adalah sebuah Negara yang wilayahnya masih lagi di bawah penjajahan musuh yang diperanginya. Bagi pihaknya, Israel, sebagai kuasa penjajah, telah mengekalkan penjajahan kolonialnya sejak lima puluh tahun yang lalu dengan mengenakan dasar rasis dan diskriminasi terhadap rakyat Palestin. Semua pihak digesa memberi keutamaan untuk menyelesaikan masalah ini. Kita tidak patut menunggu dan berpeluk tubuh. Semua ini tidak sepatutnya berlaku. Tiada orang atau mana-mana individu yang patut dibiarkan saja untuk menghadapi dasar perkauman atau keganasan dan ketidakadilan.” 

Mengikut aturannya, Israel mempunyai masa selama tiga bulan bagi menyediakan jawapan kepada pertuduhan yang dibuat oleh Palestin tersebut, tetapi nampaknya semasa kita semua masih berpolemik sama ada Malaysia patut atau tidak meratifikasi ICERD, Israel masih berterusan menyerang dan menghancurkan Palestin. 

Posner, berpandangan bahawa, “Kita hidup dalam zaman di mana kebanyakan perjanjian hak asasi manusia yang utama – terdapat sembilan perjanjian “teras” kesemuanya telah diratifikasikan oleh kebanyakan negara. Tetapi nampaknya agenda hak asasi manusia semakin memburuk.” 

Amerika Syarikat, ‘Polis Dunia’ Juga Ratifikasi ICERD 

Jika kita telah lupakan ratusan ribu nyawa yang menjadi korban perang di Afghanistan dan Iraq, ‘buah tangan’ Amerika Syarikat dan sekutu Baratnya, tentunya kita masih ingat lagi wajah anak-anak Syria yang menjadi gelandangan di seluruh dunia setelah negara mereka dijarah ‘Polis Dunia’ tersebut dan konco-konconya. 

Amerika Syarikat meratifikasikan ICERD seawal 1994, namun ia tidak menghalang negara itu, sama seperti sekutunya, Israel untuk terus-menerus melanggar hak asasi manusia di seluruh dunia. 

Tentunya kita masih ingat dengan aktiviti ‘international rendition’ tidak berperikemanusiaan kerajaan Amerika Syarikat melalui CIA yang menculik sesiapa sahaja yang dikira sebagai suspek pengganas, kebanyakannya umat Islam, dan dipindahkan secara haram tanpa sebarang saluran undang-undang ke penjara-penjara rahsia beribu batu daripada tempat suspek diculik. Suspek mungkin saja sedang bercuti di Eropah dan tidak semena-mena dihantar ke penjara-penjara gelap di Timur Tengah. 

Ramai mangsa penculikan yang diseksa dan didera, kononnya untuk mendapatkan ‘maklumat’ itu akhirnya terbukti bukan pengganas dan tidak bersalah. 

Khalid El Masri, warga Jerman, adalah salah seorang daripadanya. Beliau akhirnya berjaya dalam samannya terhadap CIA dan Amerika Syarikat. 

Pada tahun 2014, kerajaan Amerika Syarikat juga ditegur keras oleh Jawatankuasa PBB bagi CERD kerana didapati masih menindas dan melakukan kekejaman terhadap warga berketurunan Afrika berdasarkan warna kulit mereka.

Lapor PBS.org, Jawatan CERD menghebahkan dalam sebuah sidang akhbar bahawa warga berketurunan Afrika secara umumnya masih dibebani perbezaan jurang ekonomi dan sosial yang sangat besar. 

“Ini bukan satu peristiwa yang terpencil dan ianya menggambarkan permasalahan yang lebih membarah di Amerika Syarikat, seperti kecenderungan untuk bersikap perkauman di kalangan pegawai penguatkuasa undang-undang, kurangnya tatacara pelaksanaan kerja dan peraturan yang sepatutnya dalam mengawal selia penggunaan kekerasan semasa bertugas dan kurangnya latihan yang mencukupi bagi para pegawai penguatkuasa undang-undang,” kata Naib Pengerusi CERD Noureddine Amir. 

Tambahnya lagi, “Diskriminasi kaum dan etnik tetap menjadi masalah yang serius dan berterusan di semua bidang kehidupan bermula dari pemisahan sekolah, akses kepada penjagaan kesihatan dan perumahan.” 

Tolak ICERD Bukan Anti Hak Asasi

Hakikatnya kita bukan menolak ICERD kerana kita buta dan tuli dengan hak asasi. Atau tidak mahu berlaku adil dengan hak orang lain. Masalahnya adakah ICERD itu mengguna pakai konsep keadilan hak asasi yang sesuai dengan budaya dan norma masyarakat setempat? Adakah ICERD itu sensitif terhadap keperluan cara hidup kita rakyat Malaysia? Adakah ianya membawa konsep keadilan seperti yang diperkenalkan Islam yakni meletakkan sesuatu pada tempatnya? Atau konsep keadilan yang sesuai dengan keperluan kita sebuah negara rencam agama, bangsa dan adat resam? 

Tun Hamid dalam penulisannya ada menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan itu diadakan dengan kesesuaian dan keperluan negara ketika itu. 

“Perlembagaan Persekutuan melihat hak asasi manusia dari sudut sebuah negara yang baru terlepas daripada belenggu penjajahan selama lebih daripada empat abad (dikira daripada kejatuhan Melaka) yang membawa kebanjiran pendatang bersama-sama bahasa, budaya dan agama mereka yang hampir menenggelamkan penduduk asal di bumi sendiri, yang terpaksa pula berkongsi kuasa dengan pendatang itu, selepas Merdeka. Sebab itulah Perlembagaan Persekutuan mempunyai beberapa peruntukan untuk menyelamatkan keadaan seperti Perkara 153, kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu dan pemakaian Syari’ah dalam undang-undang keluarga bagi orang-orang Islam.”

Perlu juga kita sedar bahawa tidak semua nilai-nilai yang diperkenalkan oleh Barat itu wajib dan patut diterima pakai bulat-bulat tanpa sebarang teguran dan kritikan. Sudah sekian lama kita bertindak pasif mengambil saja norma-norma yang diberikan kepada kita oleh Barat. 

Seawal tahun 2001 hal ini dibangkitan oleh Ramesh Thakur  yang ketika itu merupakan seorang Timbalan Rektor di United Nations University di Tokyo. Beliau dalam tesis panjangnya mengkritik orde dunia di mana Asia dan lain-lain negara membangun dilayan sebagai ‘norm-takers’ dan Barat bertindak sebagai ‘norm-setters’ atau ‘enforcers’ akan gagal.

“Hakikatnya Asia, tidak kerdil daripada benua-benua lain, adalah tempat lahirnya beberapa ketamadunan tertua dunia, dengan sistem nilai tersendiri.” 

Beliau juga mengkritik perihal perundangan antarabangsa dan juga sistem perundangan kemanusiaan antarabangsa yang merupakan hasil daripada perundangan Eropah. Sedangkan Barat yang menjadi penaja kepada hak asasi dunia jauh daripada mempunyai rekod baik yang boleh dijadikan teladan. 

“Orang Asia semestinya kurang berminat dan berasa agak kelakar dengan teguran tentang nilai-nilai manusia sejagat oleh kumpulan yang jelas gagal mempraktikkannya semasa penjajahan oleh kuasa-kuasa Eropah dulu. Apatah lagi apabila kini mereka, kumpulan yang sama itu mendesak untuk bekerjasama dalam mempromosikan norma-norma hak asasi manusia “sejagat”. Sedangkan kerja pembersihan etnik penduduk asli telah mereka jalankan dengan sangat cekap dan sangat kejam sehingga warga pendatang kini diterima oleh masyarakat antarabangsa kontemporari sebagai warga alami Australia, Kanada dan Amerika Syarikat.” 

Berjiwa Besar Bukan Terbuka Kepada Semua Membuta Tuli 

Sebagai sebuah negara kita harus berjiwa besar dan memilih untuk berani mengatakan tidak kepada sesuatu yang tidak sesuai kepada kita. Apatah lagi jika sesuatu itu bakal membawa keburukan kepada kita. 

Tun Hamid dalam penulisan pada tahun 2015 bercakap tentang hak asasi mengatakan bahawa, “Hampir semua hak-hak asasi utama yang disebut dalam UDHR terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan, walaupun dengan pengecualian-pengecualian dan pengubahsuaian yang perlu. Ini tidak dapat dielakkan. Perlembagaan Malaysia mestilah sesuai dengan keadaan, keperluan dan aspirasi Malaysia. Hal yang sama terdapat dalam Perlembagaan mana-mana negara pun.” 

Apa guna adanya ICERD dan segala macam konvensyen hak asasi manusia, sedangkan ianya langsung tidak membantu kempen pengeboman oleh pihak Nato di Kosovo walaupun China, Russia dan India membantah. Ia juga tidak membantu ‘stolen generation’ warga Aborigines benua Australia daripada dijadikan objek seks, dirogol, didera, dipukul, dipenjarakan dan dibunuh pendatang kulit putih. 

Tidak membantu genosid seperti yang pernah berlaku di Jepun, Vietnam, Cambodia, Bosnia, Rwanda, Sierra Leone dan Iraq. 

Semestinya tidak membantu genosid yang sedang mengambil tempat di Myanmar, Syria, Yemen dan Palestin. 

Memetik kata-kata Eric Posner, “Sebenarnya undang-undang hak asasi manusia gagal mencapai matlamatnya. Amat sedikit bukti bahawa perjanjian hak asasi manusia, secara keseluruhannya, telah berjaya meningkatkan kesejahteraan rakyat. Masalahnya hak asasi manusia tidak pernah sejagat seperti yang diharapkan oleh ramai dan pemikiran dan pandangan bahawa ianya boleh dipaksakan ke atas negara-negara lain sebagai undang-undang antarabangsa telah digagalkan dengan tanggapan-tanggapan yang salah sedari awal.” 

“Masihkah ada di antara kita yang berfikir bahawa Human Rights Watch, atau pemberi-pemberi dana mereka, lebih arif daripada orang-orang yang tinggal di Suriname, Laos atau Madagascar tentang bagaimanakah kerajaan mereka kelak harus menetapkan sesuatu keutamaan dan melaksanakan sebarang dasar?” 

Atau mungkinkah Menteri Agama kita lebih tahu? Dan sedarkan kita bahawa ada pula para penyokong ICERD mahu kita tahu bahawa PBB itu sendiri tidak mampu menekan negara-negara ahli melakukan setiap rekomendasi mereka kerana mereka tidak mempunyai badan untuk memaksa setiap negara yang meratifikasikan ICERD. Persoalannya sekarang, jika itu halnya juga, kenapakah kita mahu meratifikasikan sesuatu yang sia-sia?

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo