NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kelantan bentang bajet defisit



KOTA BHARU, 20 Safar 1440H, Isnin
– Kerajaan Kelantan hari membentangkan Belanjawan 2019 dengan defisit sebanyak RM35.07 juta, dan perancangan perbelanjaan sebanyak RM1.09 bilion berbanding anggaran hasil negeri sebanyak RM743.21 juta.


Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob ketika membentangkan Belanjawan 2019 bertemakan "Kemakmuran Negeri Kesejahteraan Rakyat" berkata, bagaimanapun defisit berkenaan menurun sebanyak RM6.67 juta atau 16 peratus berbanding 2018.

Beliau berkata, defisit belanjawan negeri menurun secara konsisten dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini membabitkan RM70.69 juta pada 2015, RM45.61 juta (2016), RM42.65 juta (2017) dan RM41.74 juta (2018).

"Asas kepada penurunan defisit ini adalah pertambahan jumlah kutipan hasil yang disokong oleh urus tadbir yang baik yang diamalkan oleh jentera kerajaan negeri.

"Pengurangan jumlah defisit ini seiring dengan hasrat kerajaan untuk berbelanja secara berhemat dan mengikut keutamaan kerajaan serta dibuat selari dengan pendapatan kerajaan tahun 2019," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau berkata, anggaran Perbelanjaan Mengurus pada 2019 dijangka sebanyak RM778.78 juta berbanding RM738.64 juta pada 2018 iaitu meningkat sebanyak RM40.14 atau 5.43 peratus merangkumi Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM42.39 juta dan Perbelanjaan Bekalan sebanyak RM736.39 juta.

Katanya, sebanyak RM27.4 juta atau 64.63 peratus daripada Perbelanjaan Tanggungan diperuntukkan untuk membayar hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan.

"Jumlah ini merupakan peningkatan pembayaran sebanyak RM21.4 juta atau 356.67 peratus berbanding RM6 juta pada 2018," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, anggaran Hasil Negeri yang berjumlah RM743.71 juta dijangka diperolehi melalui Hasil Cukai sebanyak RM207.01 juta, Hasil Bukan Cukai (RM392.6 juta) dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM144.1 juta.

"Jumlah tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan dalam hasil sebanyak RM46.81 juta atau 6.72 peratus berbanding anggaran hasil 2018 sebanyak RM696.9 juta.

"Hasil tanah mengatasi hasil hutan sebagai penyumbang terbesar dengan jumlah RM307.08 juta atau 41.29 peratus daripada keseluruhan hasil, menunjukkan peningkatan sebanyak RM67.12 juta atau 27.97 peratus berbanding anggaran pada 2018 sebanyak RM239.96 juta," katanya.

Beliau berkata, Bajet 2019 turut memberi tumpuan bagi menambah baik empat teras merangkumi keberkatan, kemakmuran, kebajikan dan kesejahteraan.

Sementara itu, Ahmad ketika ditemui pemberita di luar dewan selepas membentangkan belanjawan berkenaan berkata, kerajaan negeri yakin Kerajaan Persekutuan akan membayar sejumlah royalti kepada Kelantan sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Negara sebelum ini.

"Jadi dalam Bajet 2019 ini kita ada masukkan token supaya bila terima royalti… royalti minyak itu kita akan bawa masuk dalam bajetlah. (Jumlah royalti) bergantung kepada banyak mana yang diberi kepada kita.

"Kita sedang berusaha dan mengambil langkah-langkah yang positif untuk rakyat Kelantan berdasarkan hubungan kerajaan (negeri) dengan kerajaan (persekutuan)yang semakin rapat, Insya-Allah," katanya. – Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo