NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cukai baru menguntungkan siapa?



PELBAGAI pihak mula memberikan reaksi terhadap hasrat kerajaan untuk memperkenalkan sistem cukai yang baru bagi menampung keperluan perbelanjaan kerajaan.

Kenyataan ini tidaklah mengejutkan kerana situasi kewangan negara berada di tahap yang tidak baik, ditambah pula dengan ketidakcukupan cukai SST yang diperkenalkan semula, dijangka tidak mampu untuk membaiki kedudukan ekonomi negara.

Terdahulu pada 6 Oktober, akhbar The Edge telah melaporkan bahawa kerajaan dijangka akan memperkenalkan beberapa cukai baru dalam masa terdekat.

Antara yang tersenarai adalah cukai perniagaan digital, cukai harta warisan, cukai soda atau cukai gula, cukai keuntungan saham, dan 'cukai dosa' (sin tax) seperti cukai rokok, arak dan judi.

Persoalannya, apakah tujuan SST dilaksanakan kembali setelah memansuhkan GST? Jika untuk menambah hasil kerajaan, SST ternyata bukan pilihan yang bijak, dan hari ini terbukti bahawa SST bukanlah azimat untuk memulihkan ekonomi negara.

Jika untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat, SST tidak menjanjikan harga barangan yang lebih rendah, mahupun kadar inflasi yang lebih terkawal.

Ini kerana terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada tiadanya perubahan harga (price stickiness), antaranya rantaian pembuatan dan perkhidmatan yang dimonopoli atau dimanipulasi oleh peniaga, di samping kenaikan kos operasi kepada peniaga, kesan daripada kenaikan kos bahan, dasar gaji minimum, kejatuhan nilai ringgit, dan seumpamanya.

Ternyata, GST dan SST bukanlah sistem cukai terbaik untuk menambah hasil kerajaan dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Di sini pentingnya semua pihak untuk mengkaji dan menilai alternatif selain GST dan SST yang boleh dilaksanakan di Malaysia. Antaranya melalui rejim cukai keuntungan dan cukai kekayaan seperti Real Property Gain Tax, Capital Gain Tax, Windfall Tax, Tax on Share Trading, Tax on Idle Deposit, Tax on Inheritance, dan seumpamanya.

Dalam aspek ini, PAS telah mengemukakan cadangan alternatif terhadap GST dalam Dokumen Hijau yang dilancarkan pada 2015. Di dalamnya terkandung segala prinsip, mekanisme dan anggaran kutipan 2.5% Cukai Simpanan Korporat dan Cukai Saham, yang dikenakan ke atas ‘lebihan kekayaan’ bagi menjana hasil kepada kerajaan.

Kini tiba masanya semua pihak di kalangan parti politik, NGO, ahli akademik dan persatuan peniaga untuk duduk semeja bagi mencari formula terbaik sebagai alternatif terhadap sistem cukai yang dilaksanakan selama ini.

Sekiranya tiada, terimalah dahulu cadangan daripada PAS untuk diperhalusi, dibahas dan ditambah baik, demi kebaikan ekonomi negara dan rakyat.

Asasnya ialah kerajaan perlu membuktikan komitmen untuk berbelanja secara telus dan berhemah, menambahbaik mekanisma kutipan cukai sedia ada, menyemaksemula kadar cukai pendapatan yang membebankan rakyat, seterusnya merangka formula cukai yang menguntungkan semua pihak, iaitu rakyat, peniaga dan kerajaan.

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM
10 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 10/10/2018

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo